Portal RAI perkukuh akses digital warga asing pada perkhidmatan negara
SEPANG – Malaysia terus memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital kerajaan dengan pelancaran Segmen Bukan Warganegara Portal MyGovernment atau dikenali sebagai Portal RAI.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, peluncuran portal itu merupakan reformasi penting dalam menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih inklusif, responsif dan efisien khususnya kepada pelanggan antarabangsa yang hadir ke Malaysia untuk bekerja, belajar, melabur atau menetap.

“Pelancaran Portal RAI ini bertepatan dengan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan daya saing negara.
“Ia sejajar dengan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam mendepani transformasi digital serantau,” katanya ketika merasmikan peluncuran Portal RAI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurut Gobind, Portal RAI dibangunkan sebagai segmen khas dalam portal rasmi MyGovernment iaitu gerbang utama digital Kerajaan Malaysia yang memberi akses kepada rakyat, perniagaan dan pelawat luar kepada pelbagai perkhidmatan awam.
Jelasnya, portal ini disusun secara mesra pengguna dalam enam kluster utama iaitu Enter, Visit, Study, Work, Live dan Invest bagi memudahkan urusan warga asing dengan agensi-agensi kerajaan.
“Pelaksanaan portal ini disokong oleh penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864) yang mula berkuat kuasa pada 28 April lalu.
“Akta ini membolehkan perkongsian data strategik antara agensi, dengan mengekalkan perlindungan keselamatan dan privasi individu,” katanya.
Tambah beliau, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) turut diterapkan dalam Portal MyGovernment bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan mempercepatkan pemprosesan maklumat.
“Platform MyGOV Malaysia iaitu aplikasi digital mudah alih pusat sehenti kerajaan, turut dilancarkan sebagai pelengkap ekosistem digital negara.
“Oleh itu, semua kementerian dan agensi diseru menyumbang kandungan agar perkhidmatan dapat diakses secara konsisten melalui kedua-dua aplikasi mudah alih dan laman sesawang,” ujar Gobind.
Portal RAI dirangka bagi menyampaikan maklumat secara telus, sistematik dan tanpa diskriminasi kepada warga asing.
Ia bertujuan mempercepat dan mempermudah urusan melibatkan visa, pendidikan, pekerjaan, pelaburan dan kehidupan harian di Malaysia.
“Kita mahu warga asing melihat Malaysia sebagai destinasi utama untuk pendidikan, pelaburan dan kerjasama strategik. Portal ini akan melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang terbuka, efisien dan mesra pelanggan,” tegas Gobind.
Beliau turut menyeru semua pemilik perkhidmatan dan maklumat kerajaan agar terus memperkukuh kerjasama, memperkemas kandungan serta memacu inovasi berasaskan maklum balas pengguna.
“Pendekatan rentas kementerian yang ditunjukkan dalam pembangunan portal ini menjadi contoh kejayaan transformasi perkhidmatan awam negara.
“Transformasi digital bukan lagi pilihan tapi ia satu keperluan nasional. Portal RAI adalah lambang komitmen kita untuk menjadi kerajaan digital yang lebih telus, pantas dan berpaksikan rakyat termasuk warga asing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








