AI Generatif dorong transformasi perkhidmatan awam
DALAM usaha mempercepatkan transformasi digital sektor awam, Kerajaan Malaysia telah mempergiat penggunaan kecerdasan buatan (AI) melalui program khas Train The Trainer.
Program yang berlangsung dari 3 hingga 7 Mac 2025 di Menara Usahawan, Putrajaya itu merupakan sebahagian daripada inisiatif AI At Work 2.0.

Ia adalah kesinambungan kepada fasa pertama yang dilaksanakan pada Ogos 2024 yang berjaya membuktikan keberkesanan AI dalam meningkatkan produktiviti penjawat awam.
Seramai 200 ‘Duta Perubahan’ dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan telah menyertai program ini.
Mereka juga merupakan pentadbir IT di unit MyGovUC Jabatan Digital Negara (JDN) dan akan bertanggungjawab untuk menyebarluaskan kemahiran serta pengetahuan AI kepada jabatan masing-masing.
Dilancarkan pada 5 Februari 2025 oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, AI At Work 2.0 bertujuan membolehkan 445,000 penjawat awam menggunakan teknologi AI generatif Google Workspace, Gemini bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Ia adalah usaha sama antara Kementerian Digital (bahagian pengurusan), Google Cloud, JDN dan NAIO.
Penolong Setiausaha Kanan di Kementerian Digital, Ts. Dr. Sheila Mahalingam berkata, AI telah mengubah cara kerja beliau secara signifikan.
“Dengan mengautomasikan tugas-tugas berulang, saya kini boleh memberi lebih tumpuan kepada pemikiran strategik dan penyelesaian masalah secara kreatif.
“AI membantu saya mengakses dan menganalisis data dengan lebih cekap dan tepat,” katanya.

Ketua Unit Integriti JDN, Mohd Fazli Sahari, turut berkongsi pengalaman positifnya dalam memanfaatkan AI untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkaitan pematuhan undang-undang dan integriti.
“AI telah membantu saya meningkatkan kelajuan, ketepatan dan ketelitian dalam mendapatkan maklumat yang relevan dan terkini bagi tujuan pelaporan kepada pengurusan atasan,” ujarnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Sumber Manusia JDN, Chor Yee Reen, yang pada awalnya ragu-ragu dengan penggunaan AI, kini mengakui kepentingan teknologi tersebut dalam membantu tugas harian.
“Saya pada mulanya bimbang kerana tiada latar belakang IT, tetapi kini saya menyedari AI boleh menjimatkan masa dalam meringkaskan minit mesyuarat dan laporan.

“Saya juga belajar bahawa membuat gesaan (prompts) yang berkesan adalah kunci utama dalam mendapatkan hasil terbaik daripada AI,” jelasnya.
Bagi Jannatul Firdaus Azmi, seorang pegawai yang terlibat dalam pembangunan Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bagi kementerian kerajaan, pengalaman beliau dalam program AI di Jepun sebelum ini membantunya memahami kelebihan teknologi ini dengan lebih mendalam.
“AI telah terbukti membantu dalam menghasilkan output berkualiti bagi kegunaan kementerian lain, sekali gus mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Inisiatif ini juga selaras dengan Garis Panduan Adaptasi Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam yang dilancarkan pada 27 Februari 2025.

Dibangunkan oleh JDN dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), garis panduan ini bertujuan memastikan penggunaan AI yang bertanggungjawab dan beretika dalam sektor awam.
Program AI At Work 2.0 membuktikan bahawa teknologi AI bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan kerja, tetapi juga memperkasakan pegawai awam dengan alat yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan lebih berkualiti kepada rakyat.
Dengan transformasi digital yang semakin pesat, inisiatif ini menjadi komponen penting dalam mencapai matlamat pendigitalan kerajaan dan ekonomi digital negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








