AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Gobind alu-alukan pelaburan Microsoft RM10.5 bilion pacu inovasi AI negara

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Gobind Singh Deo menyambut baik pengumuman pelaburan bernilai RM10.5 bilion (AS$2.2 bilion) oleh syarikat teknologi gergasi, Microsoft, dalam usaha mempercepatkan pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur awan di Malaysia.

Menurut beliau, pelaburan terbesar Microsoft sejak 32 tahun beroperasi di negara ini membuktikan keyakinan syarikat global terhadap komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem digital yang progresif dan inklusif.

“Pelaburan ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi AI serantau. Ia turut menyokong penubuhan Pejabat AI Kebangsaan yang ditubuhkan bagi menyelaras dasar, perancangan dan pelaksanaan teknologi AI secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan pada semalam.

Gobind berkata, usaha Microsoft turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan melalui inisiatif “AI Untuk Masa Depan Malaysia” (AI For MY Future) yang menyasarkan untuk melatih lebih 800,000 rakyat Malaysia dalam bidang AI menjelang akhir tahun 2025.

“Program ini akan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar, penjawat awam, golongan profesional dan komuniti luar bandar. Ia langkah penting bagi memastikan rakyat tidak tercicir dalam era ekonomi digital,” tambah beliau.

Pelaburan itu diumumkan sempena lawatan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella ke Malaysia, yang turut menegaskan komitmen syarikat itu untuk memperkasa transformasi digital negara menerusi teknologi terkini dan pembangunan inklusif.

Microsoft juga akan bekerjasama dengan kerajaan untuk menubuhkan sebuah Pusat Kecemerlangan AI Kebangsaan sebagai pusat rujukan, penyelidikan dan pelaksanaan inisiatif AI dalam pelbagai sektor.

Inisiatif itu dijangka memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi digital serantau dan menyokong matlamat negara untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan inovasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button