Kementerian Digital iktiraf 63 penerima APC 2025
PUTRAJAYA – Seramai 63 warga kerja Kementerian Digital menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai penghargaan terhadap prestasi cemerlang, dedikasi serta komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Perkhidmatan Tahun 2025 itu disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, di sini semalam.
Kementerian Digital dalam kenyataannya memaklumkan, pengiktirafan tersebut diberikan kepada warga kerja yang menunjukkan prestasi cemerlang sekali gus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam digital yang lebih cekap, berintegriti dan berimpak.

Menurut kenyataan itu, kejayaan agenda pendigitalan negara bergantung kepada kekuatan jentera pelaksana yang bertanggungjawab menerajui pelaksanaan dasar, inisiatif dan program strategik kementerian.
“Sebagai peneraju transformasi digital negara, warga Kementerian Digital terus menggalas amanah dalam mempercepat pendigitalan sektor awam, memperkukuh ekosistem ekonomi digital serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kementerian berkata, penganjuran majlis berkenaan turut mencerminkan komitmennya dalam membudayakan budaya kerja berprestasi tinggi, menghargai sumbangan warga kerja serta memperkasa pembangunan modal insan.
Usaha itu dilihat penting dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Kecerdasan Buatan (AI) menjelang tahun 2030.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















