Mangsa banjir kilat boleh tuntut ganti rugi daripada PBT jika wujud kecuaian
PETALING JAYA – Pemilik kenderaan yang rosak atau tenggelam akibat banjir kilat boleh membuat tuntutan ganti rugi terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dapat membuktikan kerosakan itu berpunca daripada kecuaian pihak berkuasa berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata, bagaimanapun tuntutan tersebut tidak boleh dibuat secara automatik hanya kerana sesuatu kawasan dilanda banjir.
Menurut beliau, kejadian banjir boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk hujan lebat luar biasa dan perubahan iklim yang tidak semestinya berpunca daripada kegagalan atau kecuaian PBT.
“Namun, jika terdapat bukti bahawa kerosakan berlaku akibat kecuaian PBT seperti kegagalan menyelenggara sistem perparitan, longkang tersumbat atau pokok yang tidak diselenggara sehingga tumbang dan menghempap kenderaan, pengguna boleh mempertimbangkan untuk membuat tuntutan ganti rugi,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, bagi kes pokok tumbang, tuntutan boleh dibuat sekiranya kenderaan diparkir di lokasi yang dibenarkan dan terdapat bukti PBT gagal melaksanakan kerja penyelenggaraan yang sepatutnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya mengumpulkan bukti yang lengkap bagi mengukuhkan tuntutan, termasuk gambar lokasi kejadian, laporan polis, laporan bomba jika berkaitan, resit pembaikan serta dokumen sokongan lain.
Mengulas mengenai perlindungan insurans, Nur Asyikin berkata, Malaysia kini berdepan peningkatan kejadian bencana alam seperti banjir, ribut dan tanah runtuh susulan perubahan iklim yang semakin ketara.
Justeru, katanya, pemilik kenderaan disaran mendapatkan perlindungan tambahan Special Perils di bawah polisi insurans kenderaan bagi melindungi mereka daripada kerugian akibat bencana alam.
“Perlindungan ini memberi pampasan terhadap kerosakan yang berpunca daripada banjir, tanah runtuh, ribut dan pelbagai fenomena alam lain, sekali gus dapat mengurangkan beban kewangan pemilik kenderaan apabila berlaku bencana,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















