BERITA SEMASAPMX

PM gesa PBT setiap negeri contohi Kuala Lumpur angkat martabat penjaja kecil

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara digesa mencontohi pendekatan yang dilaksanakan di ibu negara dalam usaha memartabatkan golongan penjaja dan peniaga kecil.

Beliau berkata, Kuala Lumpur dijadikan contoh bukan semata-mata kerana kehebatan mercu tanda atau bangunan mewah, sebaliknya kerana usaha membangunkan kota yang memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh.

Anwar berkata, usaha yang dilaksanakan di Kuala Lumpur perlu diperluas ke seluruh negara, dengan memastikan kemudahan asas penjaja dan peniaga kecil di bandar-bandar lain turut diberi perhatian sewajarnya.

“Sebab itu, saya gesa kerajaan-kerajaan tempatan, kerajaan-kerajaan negeri ambil contoh apa yang kita mula lakukan di Kuala Lumpur. Jangan abaikan kepentingan perniagaan kecil, penjaja Melayu terutama ini di kota-kota kita.

“Saya harap hal ini didengar oleh pimpinan-pimpinan negeri dan PBT. Kita nak nilai hebat Kuantan, hebat Temerloh, hebat Kota Bharu atau Alor Setar, bukan gedung-gedung baru sahaja

“…tetapi bagaimana kerajaan negeri, PBT lakukan dan tingkatkan kemudahan asas, bersih, indah, gerai, warung, pusat penjaja dan perniagaan kecil yang baik dan indah.

“Ini kita dah tumpu dan penghubungan tambahan akan saya lakukan bulan Oktober, masa belanjaan nanti, Insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jublis Emas Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia di ibu negara malam tadi.

Baca juga : PM mahu gerai peniaga kecil, penjaja diberi wajah baharu

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, negara tidak hanya bergantung kepada pelaburan dan teknologi canggih, malah perlu diseimbangkan dengan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat biasa.

Katanya, usaha yang dilaksanakan di ibu negara perlu diperluas ke seluruh negara, dengan memastikan kemudahan asas penjaja dan peniaga kecil di bandar-bandar lain turut diberi perhatian sewajarnya.

“Bila kita lihat di Kuala Lumpur, kerana Kuala Lumpur di bawah Kerajaan Persekutuan, dia langsung saya dah jadikan contoh.

“…contoh dia bukan kerana bangunan mercu tanda yang hebat, bangunan-bangunan yang besar, hotel 5, 6, 7 bintang, tapi bagaimana satu kota dibangunkan yang boleh memberi manfaat kepada penjaja.

“Peniaga Melayu ini dianggap kecil memang betul, tetapi sumbangan dia kepada rakyat termasuk warga Kuala Lumpur, bagi contoh warga kota umumnya, itu besar,” katanya.

Dalam nada lebih peribadi, Perdana Menteri turut berkongsi rutin mingguannya yang sering mengunjungi gerai penjaja Melayu sebelum menunaikan solat Jumaat.

“Saya tak lupa. Keduanya seperti saya tahu, tiap hari Jumaat, hampir-hampir tiap Jumaat sebelum pergi solat Jumaat, saya mesti singgah ke warung atau gerai penjaja Melayu untuk makan tengah hari sebelum ke solat Jumaat.

“Tentunya sebagai Penjaja Menteri, nanti macam, perbagai undangan untuk ke restoran lima bintang di hotel-hotel terkenal. Tapi tiap Jumaat saya pilih ke warung penjaja Melayu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pemimpin agar tidak hanya mendekati rakyat ketika hampir pilihan raya, sebaliknya perlu turun padang secara konsisten untuk memahami keperluan rakyat.

“Jangan jadi sesetengah orang politik, dekat pilihan raya masa itu baru nak dukung bayi, masa itu dah nak pergi warung. Lima tahun dia tinggal warung,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button