BERITA SEMASA

Bilik Kasih Wanita pertama diwujudkan untuk jururawat HUS

KUCHING – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) memperkenalkan Bilik Kasih Wanita pertama di Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi menyediakan ruang rehat yang lebih selesa dan kondusif kepada jururawat wanita, khususnya mereka yang sedang hamil atau menyusukan anak.

Kemudahan tersebut dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini.

Nancy berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai penghargaan terhadap pengorbanan petugas kesihatan yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Jururawat sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pesakit menerima rawatan dan penjagaan terbaik.

“Dalam kesibukan menjalankan tugas, mereka juga memerlukan ruang yang selesa untuk berehat dan mengurus keperluan diri.

“Bilik Kasih Wanita bukan sekadar sebuah kemudahan fizikal, malah merupakan satu bentuk sokongan terhadap kesejahteraan petugas kesihatan, khususnya jururawat wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian hari ini.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan dengan mengambil kira cabaran tugas jururawat yang perlu berdepan jadual kerja padat serta jumlah pesakit yang tinggi setiap hari.

“Ruang khas tersebut membolehkan mereka berehat seketika dan mengurus keperluan diri sebelum kembali menjalankan tanggungjawab merawat pesakit,” katanya lagi.

Penyediaan Bilik Kasih Wanita direalisasikan menerusi tajaan Perinsuran Brokar Sdn Bhd yang menjadi rakan strategik YKN dalam melaksanakan inisiatif berimpak sosial.

Nancy turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan atas komitmen dan keprihatinannya dalam membantu meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan petugas kesihatan.

Menurut beliau, penglibatan sektor korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mampu memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar.

“YKN mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat untuk tampil sebagai rakan strategik dalam memperluas kemudahan Bilik Kasih Wanita ke hospital lain yang memerlukan.

“Kerjasama ini membolehkan lebih ramai jururawat wanita menikmati ruang rehat yang selesa dan sesuai, sekali gus menyokong kesejahteraan mereka ketika menjalankan amanah menjaga pesakit,” katanya lagi.

Beliau berkata, YKN akan menilai pelaksanaan serta impak Bilik Kasih Wanita di HUS sebagai rujukan bagi peluasan inisiatif tersebut ke hospital lain berdasarkan keperluan setempat, kesesuaian ruang dan sokongan penaja.

Pada majlis sama, Nancy turut menyampaikan sumbangan bakul makanan tajaan Kumpulan Sunway kepada penghuni Anjung Kasih YKN Hospital Umum Sarawak.

Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada Kempen #SunwayforGood sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Menerusi kerjasama strategik bersama YKN, Kumpulan Sunway menyumbang sebanyak 1,000 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga yang memerlukan di beberapa negeri di seluruh negara.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perinsuran Brokar Sdn Bhd merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKN, Siti Rafidah Adenan; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button