Pameran MATA : Taiwan perkukuh kerjasama pelancongan dengan Malaysia
KUALA LUMPUR – Taiwan memperkenalkan pakej insentif baharu menerusi Tourism Dual-Wheel Drive Programme bagi menarik lebih ramai pelancong Malaysia serta memperkukuh kerjasama pelancongan antara kedua-dua negara.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan Taiwan, Chen Yu-Hsiu yang mengetuai delegasi 76 wakil daripada 44 organisasi pelancongan Taiwan ke Malaysia sempena Pameran MATTA Kuala Lumpur yang berlangsung dari 4 hingga 6 September.
Delegasi itu turut memperkenalkan kempen “Taiwan – 100 Ways” bagi mengetengahkan pelbagai pengalaman pelancongan di Taiwan.
Dalam lawatan berkenaan, Pentadbiran Pelancongan Taiwan dan Malaysia Airlines turut memeterai memorandum persefahaman (MoU), yang menjadi kerjasama pertama antara kedua-dua pihak.
Kerjasama itu meliputi lawatan suai kenal (FAM Trip), pembangunan produk pelancongan dan pemasaran bersama bagi memperkukuh hubungan udara serta meningkatkan ketibaan pelancong Malaysia ke Taiwan.
Chen berkata, Malaysia merupakan antara pasaran sumber utama Taiwan di bawah Dasar Hala Tuju Baharu ke Selatan.
“Kemudahan kemasukan tanpa visa, hubungan penerbangan yang baik dan permintaan pelancongan yang meningkat menjadikan Malaysia pasaran penting bagi Taiwan.
“Program insentif yang berkuat kuasa sejak 1 September itu menawarkan insentif kepada peserta MICE, selain insentif penginapan kepada kumpulan korporat antarabangsa yang melancong ke kawasan tengah dan selatan Taiwan serta Hualien-Taitung,” ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Taiwan turut memperkenalkan “Return to Taiwan, Double the Luck” bagi menggalakkan kunjungan berulang dalam kalangan rakyat negara ini.
“Pelancong yang pernah memasuki Taiwan pada atau selepas 1 Januari 2023 berpeluang menerima kredit perbelanjaan NT$5,000 (kira-kira RM639) apabila kembali ke Taiwan, manakala mereka yang membawa keluarga atau rakan boleh menerima tambahan NT$3,000 (kira-kira RM384), menjadikan manfaat keseluruhan sehingga NT$8,000 (kira-kira RM1,023),” katanya.
Sementara itu, Pavilion Taiwan di MATTA Fair mengetengahkan Taiwan – Waves of Wonder dan konsep Taiwan Never Sleeps.
Buat pertama kali, pengendali pelancongan Muslim Malaysia turut dijemput menyertai Pavilion Taiwan bagi memperluas pasaran pelancongan mesra Muslim.
“Taiwan menduduki tempat ketiga dalam kalangan destinasi bukan OIC menerusi Mastercard-Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026,” katanya.
Selepas Kuala Lumpur, delegasi Taiwan dijadual meneruskan promosi di Johor Bahru pada 8 September menerusi Taiwan Tourism Workshop dan sesi B2B, yang dijangka menghimpunkan hampir 100 wakil industri serta lebih 3,000 sesi pertemuan perniagaan.
Pentadbiran Pelancongan Taiwan berkata, kerjasama dengan syarikat penerbangan, pengendali pelancongan, kerajaan tempatan dan pempengaruh media sosial akan terus diperkukuh bagi menarik lebih ramai pelancong Malaysia serta menggalakkan kunjungan berulang ke Taiwan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








