Mahkamah Taiwan arah pengerusi syarikat bayar ganti rugi RM103,000 kepada suami kekasih gelap
TAIPEI – Sebuah mahkamah di Taiwan mengarahkan seorang pengerusi sebuah syarikat membayar ganti rugi berjumlah NT$800,000 (RM103,000) kepada suami wanita yang menjadi kekasih gelapnya.
Menurut laporan beberapa portal antarabangsa, keputusan tersebut dibuat susulan hubungan terlarang itu didapati telah melanggar hak pasangan suami isteri secara serius.
Mahkamah menerima bukti perbualan pasangan itu melalui aplikasi LINE yang menunjukkan interaksi intim termasuk ucapan berunsur seksual serta perbualan peribadi lain.
Bukti itu turut disokong oleh imej swafoto serta kad perniagaan milik defendan sekali gus membantu mahkamah mengenal pasti identitinya.
Sebelum ini, suami kepada teman wanitanya itu menuntut pampasan berjumlah NT$1 juta (RM128,000) atas tekanan emosi dihadapinya.
Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan bahawa walaupun perzinaan tidak lagi dipertanggungjawabkan secara jenayah di Taiwan, hak untuk menuntut pampasan melalui tuntutan sivil kekal di bawah undang-undang sekiranya berlaku pelanggaran hak pasangan yang serius.
Kedua-dua pihak dilaporkan menjalinkan hubungan selepas bertemu pada penghujung 2024, walaupun lelaki tersebut sedar bahawa wanita itu masih lagi isteri orang.
Hubungan sulit itu terbongkar apabila suami wanita itu menemui bukti perbualan mesra mereka di aplikasi LINE.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








