BERITA SEMASA

Belanjawan 2027 fokus tangani tekanan sosioekonomi M40, B40

LUMUT – Belanjawan 2027 dijangka memberi penekanan khusus terhadap usaha menangani isu sosioekonomi, termasuk kebajikan kumpulan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan rendah.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tumpuan terhadap kedua-dua kumpulan itu penting kerana mereka antara yang paling terkesan akibat tekanan ekonomi dan cabaran kos sara hidup ketika ini.

“Belanjawan yang akan dibentangkan Perdana Menteri nanti akan menjadi satu lagi Belanjawan yang lebih inklusif, lebih dekat dengan rakyat dan sedikit sebanyak dapat menyelesaikan beberapa masalah serta isu yang timbul.

“Buat masa ini, pihak yang terlibat masih mengadakan sesi libat urus secara langsung dengan semua pemegang taruh bagi memuktamadkan Belanjawan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatam Keris Adat Tradisional Kebangsaan anjuran Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia cawangan Perak dan Perhimpunan Silat Anak-Anak Gayong Perak di Tapak Perkhemahan Teluk Batik, di sini hari ini.

Anwar, yang juga Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.

Muhammad Kamil kemudiannya berkata, inisiatif sedia ada seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkukuh bagi meringankan beban kewangan isi rumah.

“Program bantuan seperti STR dan SARA akan diteruskan, dan kita menunggu pengumuman lanjut daripada Menteri Kewangan,” katanya.

Beliau menambah, pertimbangan turut diberikan terhadap cadangan untuk menambah baik inisiatif sedia ada serta memperkenalkan bentuk sokongan kewangan lain bagi meringankan beban isi rumah berpendapatan sederhana.

“Keutamaan kerajaan juga kekal tertumpu kepada memastikan kestabilan politik dan ekonomi terus kukuh bagi menjamin kelancaran pelaksanaan dasar-dasar negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button