BERITA SEMASA

Belanjawan 2027 beri tumpuan ringankan beban M40

PUTRAJAYA – Langkah untuk meringankan beban kewangan kumpulan berpendapatan pertengahan (M40) merupakan antara keutamaan yang sedang dipertimbangkan bagi Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita mempunyai senarai bidang keutamaan untuk meringankan beban, termasuk bagi golongan M40,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2027, di sini hari ini.

Terdahulu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan Pra-Belanjawan memaklumkan, M40 kekal menjadi antara fokus utama pentadbiran MADANI, dengan pelbagai langkah bantuan diperkenalkan sejak 2023.

Menerusi Belanjawan MADANI pertama, kadar cukai pendapatan individu dikurangkan sebanyak dua mata peratusan bagi pembayar cukai pemastautin berpendapatan antara RM35,000 hingga RM100,000.

Langkah itu memberi manfaat kepada kira-kira 2.4 juta pembayar cukai, dengan peningkatan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.

Antara inisiatif lain yang memberi manfaat kepada M40 termasuk Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid serta dua pusingan pembayaran SARA Untuk Semua sebanyak RM100 kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Kerajaan turut memperkenalkan pelepasan cukai sehingga RM3,000 bagi pendidikan awal kanak-kanak, sehingga RM10,000 untuk pemulihan masalah pembelajaran, memperluas perlindungan insurans dan takaful untuk kanak-kanak serta pengecualian duti setem bagi pembeli rumah kali pertama.

Kementerian itu berkata kerajaan akan terus menilai tekanan kos sara hidup meliputi makanan, perumahan, pengangkutan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, selain memperkukuh perlindungan sosial bersasar.

Kerajaan dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di Parlimen, 9 Oktober depan.

Belanjawan 2027 yang akan menjadi Belanjawan MADANI kelima bertujuan meringankan kos sara hidup, memperluas jaringan keselamatan sosial, memperkukuh daya saing ekonomi dan meningkatkan kemampanan fiskal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button