Ekonomi Malaysia berkembang 5.8 peratus bagi suku kedua 2026 – MOF
PUTRAJAYA – Malaysia terus mencatat prestasi ekonomi yang memberangsangkan apabila anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 berkembang 5.8 peratus, berbanding 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi separuh pertama tahun ini pula, ekonomi negara berkembang 5.6 peratus, meningkat berbanding 4.5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata, pertumbuhan itu disokong oleh hampir semua sektor ekonomi kecuali sektor pertanian, sekali gus mencerminkan keberkesanan reformasi di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.
“Prestasi ini membuktikan daya tahan ekonomi negara walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan mengukuhkan keyakinan pelabur bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat untuk terus mencipta pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia melakar satu lagi pencapaian apabila terbitan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion (RM6.1 bilion) menerima sambutan luar biasa dengan langganan sebanyak 4.7 kali nilai tawaran.
Menurutnya, kejayaan itu membolehkan kerajaan memperoleh kos pembiayaan yang lebih kompetitif serta merekodkan kadar spread paling rendah dalam sejarah penerbitan sukuk global Malaysia.
Katanya, program libat urus yang diadakan berjaya menarik penyertaan 140 pelabur antarabangsa, termasuk dana kekayaan berdaulat, bank pusat, institusi kewangan, syarikat insurans dan dana persaraan dari Asia, Asia Barat, Afrika, Eropah serta Amerika Syarikat.
“Pencapaian ini mencerminkan keyakinan tinggi pelabur antarabangsa terhadap asas ekonomi negara, disiplin fiskal kerajaan serta kredibiliti Malaysia dalam mengurus kewangan awam secara berhemah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















