BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

GOI 2026: Malaysia kekal destinasi pelaburan utama, terbaik di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama apabila menduduki tangga ke-23 dunia serta muncul ekonomi berprestasi terbaik dalam kalangan pasaran pertumbuhan Asia Tenggara berdasarkan Global Opportunity Index (GOI) 2026.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), laporan yang diterbitkan oleh Institut Milken itu sekali gus membuktikan kekuatan ekosistem pelaburan negara yang seimbang, disokong oleh asas ekonomi kukuh, kerangka institusi mantap serta sektor kewangan yang berkembang dengan baik.

“Dalam kalangan enam ekonomi Asia Tenggara yang dinilai iaitu Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina dan Vietnam, Malaysia mencatat skor keseluruhan tertinggi, sekali gus mencerminkan kekuatan struktur serta konsistensi dasar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MITI lagi, prestasi Malaysia turut menyerlah dalam sektor Perkhidmatan Kewangan apabila berada di kedudukan ke-17 dunia, selain Persepsi Perniagaan di tangga ke-18 global.

MITI menjelaskan, pencapaian tersebut mencerminkan kemajuan berterusan negara dalam memperkukuh pasaran kewangan, meningkatkan kualiti kawal selia serta mengekalkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menyokong keyakinan pelabur.

“Laporan GOI 2026 itu hadir pada ketika pelabur berdepan persekitaran tidak menentu serta ketidaktentuan geoekonomi termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Dalam konteks itu, prestasi kukuh Malaysia dalam laporan berkenaan menonjolkan kejelasan dasar serta daya tahan negara, sekali gus membezakan kedudukannya daripada pesaing serantau dalam landskap pelaburan global yang semakin dinamik,” jelas MITI.

Sebagai rekod, laporan GOI 2026 itu diterbitkan ketika pelabur berdepan persekitaran tidak menentu serta ketidaktentuan geoekonomi termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button