Syarikat China intai Malaysia sebagai tapak uji kereta terbang
KUALA LUMPUR – Beberapa syarikat dari China menyatakan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai tapak ujian teknologi mobiliti udara bandar termasuk kereta terbang, sekali gus membuka peluang kepada negara meneroka teknologi pengangkutan masa depan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, beberapa syarikat berkenaan sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berhubung cadangan itu, selain berminat untuk menjalankan aktiviti pembuatan dan menyediakan perkhidmatan berkaitan di Malaysia.
“Beberapa syarikat dari China sudah mengadakan perbincangan dengan MITI dan mereka mahu menjadikan Malaysia sebagai tapak ujian untuk mobiliti bandar, yang bermaksud kereta terbang,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada majlis permulaan Pembangunan Hala Tuju Aeroangkasa Malaysia bagi Ekonomi Altitud Rendah (LAE) serta pendigitalan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Ir. Ts. Dr Shamsul Kamar Abu Samah.
Menurut Sim, perbincangan dengan syarikat terbabit masih di peringkat awal, namun minat yang ditunjukkan mencerminkan potensi Malaysia dalam meneroka teknologi baharu membabitkan ruang udara altitud rendah.
Katanya, ekonomi altitud rendah merangkumi sistem pesawat tanpa pemandu, dron, mobiliti udara bandar dan penerbangan autonomi.
Beliau berkata, sektor itu merupakan bidang baharu yang perlu diterokai Malaysia lebih awal bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi masa depan.
“Ini adalah masa yang sangat menarik kerana ekonomi altitud rendah masih baharu. Malaysia antara beberapa negara terawal yang memulakan kajian dan membangunkan hala tuju ini.
“Kita mahu merebut peluang daripada trend masa depan. Kita tidak mahu ketinggalan,” katanya.
Malaysia kini sedang membangunkan hala tuju nasional bagi ekonomi altitud rendah yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini, manakala pelaksanaannya dijangka bermula tahun depan.
Dalam membangunkan pendekatan itu, kerajaan turut menjadikan China, United Kingdom, Jepun, Jerman dan Singapura sebagai penanda aras.
Bagaimanapun, Sim berkata, aspek kawal selia dan keselamatan perlu diberi perhatian serius sebelum teknologi seperti mobiliti udara bandar dapat digunakan secara lebih meluas.
“Banyak kerja berkaitan kawal selia perlu dilakukan. Jika kita mahu menghantar semua barangan menggunakan teknologi ini, ia mesti selamat.
“Kita tidak mahu tiba-tiba sesuatu jatuh dari langit dan menghempap orang” katanya.
Sim berkata, Malaysia perlu mencari keseimbangan antara menggalakkan inovasi dengan memastikan kerangka kawal selia dapat bergerak seiring perkembangan teknologi.
“Kita boleh membuat unjuran dan bersikap sangat optimistik, tetapi secara realistik, kita memerlukan industri dan pihak pengawal selia untuk bekerjasama,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








