KUALA LUMPUR – Murid tahun lima bakal menerima intervensi pembelajaran lebih awal berdasarkan data pencapaian dan tahap penguasaan masing-masing yang dikenal pasti menerusi matriks pembelajaran.
Pengarah Lembaga Peperiksaan, Abdul Aziz Mamat berkata, data berkenaan akan digunakan pihak sekolah bagi merancang program intervensi seawal murid memasuki Tahun Lima.
“Intervensi dan sokongan pembelajaran akan dilaksanakan berdasarkan dapatan metrik pembelajaran setelah tahap penguasaan murid yang dikenal pasti seperti yang kita laksanakan pada tahun ini.
“Ia akan berlaku pada bulan Oktober dan maksudnya seawal murid itu mula memasuki tahun lima, pihak sekolah akan terus boleh menggunakan data dan pencapaian murid itu untuk program intervensi pada peringkat sekolah,” katanya.
Menurut beliau, dapatan tersebut akan diterjemahkan kepada tindakan susulan dalam perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) sebelum dilaksanakan secara berterusan mengikut keperluan murid.
Katanya, intervensi yang disediakan boleh merangkumi bimbingan dan pengukuhan dalam PdP, pemulihan bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran asas serta pengayaan untuk murid yang telah menguasai pembelajaran.
“Intervensi boleh merangkumi bimbingan dan pengukuhan dalam PdP, pemulihan bagi murid yang belum menguasai kemahiran asas, pengayaan bagi murid yang telah menguasai pembelajaran serta sokongan berfokus mengikut keperluan murid.
“Pendekatan ini membolehkan intervensi dilaksanakan secara bersasar dan tidak berasaskan perbandingan antara murid atau sekolah,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan intervensi lebih awal turut memberikan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun di peringkat sekolah rendah untuk meningkatkan pencapaian dan kebolehan murid.
“Jadi maksudnya kita mempunyai masa sekurang-kurangnya dua tahun di peringkat sekolah rendah untuk program intervensi bagi meningkatkan pencapaian dan kebolehan murid dan pada masa yang sama untuk meningkatkan potensi bagi murid-murid tertentu yang telahpun mencapai standard yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata tanggungjawab pelaksanaan dan jaminan mutu intervensi perlu digalas secara bersama oleh semua pihak.
Guru bertanggungjawab merancang intervensi, mengenal pasti keperluan pembelajaran dan melaksanakan intervensi yang dirancang, manakala pihak sekolah memastikan tindakan susulan dirancang serta dilaksanakan mengikut perancangan.
Pada peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pemantauan serta sokongan profesional akan diberikan kepada sekolah berdasarkan keperluan.
Lembaga Peperiksaan bersama bahagian berkaitan di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jemaah Nazir pula akan melaksanakan jaminan mutu bagi memastikan sokongan serta intervensi dilaksanakan secara adil dan berkesan.