AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

MITI perkukuh industri AI, semikonduktor dengan dasar strategik

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menetapkan semua aktiviti eksport, transit dan pemindahan cip kecerdasan buatan (AI) memerlukan permit selaras dengan Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penetapan yang dibuat pada 14 Julai lalu itu adalah bagi memastikan persekitaran perdagangan yang selamat dan telus dalam sektor teknologi tinggi.

“Langkah ini bertujuan memastikan rantaian bekalan semikonduktor global kekal stabil dan menyokong pertumbuhan industri AI tempatan secara selamat selain kerajaan berusaha memperkukuh infrastruktur dan keupayaan tempatan.

“Dalam pada itu, pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan reka bentuk litar bersepadu (IC) diperhebatkan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan R Yuneswaran (PH-Segamat)mengenai strategi kerajaan memastikan syarikat dan industri memiliki persekitaran perdagangan yang selamat dan telus di negara ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerajaan secara berterusan menjalinkan hubungan dengan syarikat teknologi global dan rakan dagang utama bagi memperkukuh akses pasaran serta pemindahan teknologi.

“Sebagai contoh, Malaysia sedang berunding untuk membangunkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memastikan perdagangan antara Malaysia dan negara itu kekal makmur.

“Malaysia dan AS menandatangani Memorandum Kerjasama mengenai Rantaian Bekalan Semikonduktor yang Berdaya Tahan pada 2022 yang masih berkuatkuasa sehingga 2026.

“Kerajaan akan memanfaatkan kerjasama ini untuk memastikan rantaian bekalan semikonduktor tempatan terpelihara.

“Pada masa sama, kerajaan melaksanakan pendekatan kawal selia dan teknikal berlapis untuk menilai keselamatan produk sebelum digunakan dalam sistem kritikal, termasuk penilaian risiko oleh agensi keselamatan siber negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button