Zafrul bidas Rafizi, dakwaan tarif dua kali ganda tidak berasas
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz membidas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang didakwa terus memutar belit fakta berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS).
Menurut bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, dakwaan kononnya Malaysia kini perlu membayar tarif dua kali ganda susulan keputusan Mahkamah Agung AS berkaitan ART adalah tidak berasas sama sekali.
“Keputusan Mahkamah Agung AS yang menolak tarif dikenakan secara global oleh Presiden AS, Donald Trump secara tidak langsung bermaksud tarif 19 peratus yang dikenakan ke atas Malaysia sebelum ini juga tidak lagi terpakai,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menjelaskan, ART diwujudkan bagi memastikan Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan risiko perdagangan pada masa hadapan.
“Konsep perjanjian ART ini sebenarnya mudah. Ia ibarat insurans perjalanan. Ketika hendak melancong, orang selalu fikir tidak akan berlaku apa-apa, tetapi apabila dimasukkan ke hospital di luar negara, bil boleh mencecah puluhan ribu ringgit.
“Ketika itu barulah kita faham mengapa bayaran takaful itu penting. ART ini pun sama, kita bersedia dari awal dengan menyediakan payung sebelum hujan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosialnya hari ini.
Tambah beliau, Malaysia sememangnya menyedari kes berkaitan tarif oleh Trump sedang berjalan di Mahkamah Agung AS.
Namun tegasnya, negara tidak boleh menunggu sehingga keputusan muktamad dibuat kerana keadaan akan menjadi berbeza sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada Trump.
Dalam konteks perdagangan global masa kini, ujarnya, negara yang lambat bertindak bakal berdepan harga yang mahal.
“Sebab itu kita mesti bertindak awal dan kita bukan satu-satunya negara yang mengambil pendekatan ini. Kesatuan Eropah, United Kingdom, Korea, Jepun dan terbaharu jiran kita Indonesia juga telah mencapai persefahaman dengan AS.
“Adakah semua negara ini tergesa-gesa? Atau mereka juga mahu memberi kepastian kepada industri masing-masing?” soalnya.
Beliau menegaskan, isu ART bukanlah soal siapa yang paling lantang bersuara, sebaliknya siapa yang paling awal bertindak demi melindungi kepentingan ekonomi negara.
Menurutnya, Malaysia memilih pendekatan proaktif kerana setiap keputusan perdagangan memberi kesan langsung kepada pekerjaan rakyat dan masa depan industri negara.
“Ada orang tunggu ribut datang, kemudian sibuk bercakap tentang cara hendak selamat. Kita pula memilih untuk memasang payung lebih awal supaya rakyat tidak perlu basah sebelum mencari tempat berteduh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








