BERITA SEMASAPOLITIK

Pembangkang tolak gesaan Rafizi tubuh RCI siasat badan kehakiman

KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat badan kehakiman negara yang dikemukakan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, tidak mendapat sambutan daripada pihak pembangkang.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, blok pembangkang tidak berhasrat menyokong gesaan berkenaan memandangkan Ahli Parlimen Pandan itu masih merupakan sebahagian daripada barisan kerajaan.

Menurut beliau, Rafizi telah menghantar surat kepada beberapa Ahli Parlimen PN bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan tersebut.

“Semalam saya mendapat pengesahan daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengenai surat yang dihantar Rafizi melalui Pusat Khidmat Parlimen pada 9 Julai lalu.

“Kami berdua, sampai ke saat ini, belum menerima lagi surat daripada Rafizi yang dikatakan meminta Ahli Parlimen PN memberikan sokongan terhadap gesaannya supaya kerajaan menubuhkan RCI berhubung isu pelantikan dalam badan kehakiman.

“Kami mengesahkan tidak akan menyokong cadangan itu kerana Rafizi masih lagi anggota pentadbiran kerajaan atau penyokong kerajaan. Jadi, kenapa beliau mahu minta sokongan daripada pembangkang?” katanya dalasidang akhbar di Yayasan Al Bukhary semalam.

Terdahulu, beliau turut hadir bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sesi sidang meja bulat kali kedua anjuran Sekretariat Pertahankan Sistem Kehakiman yang turut disertai beberapa pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan barisan peguam.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, pihaknya tidak yakin dengan penubuhan RCI dalam keadaan sekarang kerana langkah itu memerlukan nasihat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, beliau turut meragui surat Rafizi yang dikatakan turut melampirkan jawapan.

“Oleh sebab itu, kami merasakan ini bukan tahap kami untuk menyokong. Kalau benar, Rafizi perlu menunjukkan bahawa beliau bersama dengan usaha mendesak Perdana Menteri meletak jawatan sama ada di luar atau di dalam Parlimen,” katanya.

Baca juga : Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kemelut institusi kehakiman negara

Rafizi bersama sembilan Ahli Parlimen PKR sebelum ini mencadangkan agar RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berhubung kemelut dalam institusi kehakiman yang disifatkan mampu menjejaskan kredibiliti kerajaan serta keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara.

Gesaan itu dibuat susulan dakwaan kelewatan pelantikan hakim-hakim kanan dan dakwaan campur tangan dalam keputusan kes mahkamah, termasuk pengaruh terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button