PM Anwar ulangi pendirian akan terus pertahan kebebasan badan kehakiman
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak akan mencampuri urusan badan kehakiman di negara ini, sebaliknya Kerajaan Perpaduan pimpinan beliau akan memastikan institusi berkenaan terus dipertahankan.
Menurut Perdana Menteri, adalah penting untuk badan kehakiman di negara ini untuk bebas, tidak berat sebelah dan berwibawa pada setiap masa.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, badan kehakiman adalah benteng keadilan untuk memastikan kedaulatan undang-undang negara dipatuhi dan dilindungi pada setiap masa walau cara apa sekalipun.
Kata beliau, berdasarkan sejarah negara ada ‘kambing hitam’ dalam badan kehakiman yang bekerjasama dengan pihak tertentu melakukan pelanggaran berat terhadap institusinya sendiri serta membiarkan kezaliman dan tindakan sewenang-wenangnya di pihak yang lain.
“Ia membawa keburukan dan mencemarkan nama baik di satu pihak dengan menyebarkan kezaliman sewenang-wenangnya kepada pihak lain.
”Kedaulatan undang-undang menjamin bahawa kuasa kerajaan mesti digunakan mengikut undang-undang. Mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakannya.
“Kerajaan mesti telus dan ia penting mengikut prinsip kerajaan terbuka. Oleh itu, keputusan dan urusan meragukan tidak boleh digunakan untuk mengaburi mata rakyat atas nama Akta Rahsia Rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-Undang Asean (ALA) Ke-14 dan Persidangan Undang-Undang Asean 2023, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara merangkap Presiden ALA Malaysia, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








