Petronas terus laksana peranan di Sarawak mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974
PUTRAJAYA – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan meneruskan fungsi, aktiviti dan tanggungjawabnya di Sarawak sebagaimana tertakluk di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).
Peranan tersebut terkandung dalam deklarasi bersama yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mengenai kerjasama di antara Petronas dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros), hari ini.
Kedua-dua pihak turut mencapai persetujuan bahawa semua undang-undang Persekutuan dan Sarawak yang berkaitan pengagihan gas di Sarawak hendaklah wujud bersama dan dihormati semua pihak yang menjalankan aktiviti itu, termasuk Petros dan Petronas.
“Deklarasi Bersama ini memperakui undang-undang Persekutuan dan negeri, kedudukan perjanjian-perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama di antara Petronas dan Petros.
“Antara lain (yang terkandung dalam deklarasi bersama) adalah semua undang-undang Persekutuan dan Negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam Negeri Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti berkenaan di Negeri Sarawak, termasuk Petronas dan Petros.
“Petronas juga akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan sepertimana yang diamanahkan kepada Petronas di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
“Ketiga, mana-mana undang-undang di Negeri Sarawak tidak akan menjejaskan mana-mana perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga termasuk Petros, yang berkaitan dengan aktiviti Petronas dan anak-anak syarikatnya di Negeri Sarawak,” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, deklarasi tersebut ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam kenyataan sama, kedua-dua pihak turut bersetuju dan memperakui pelantikan Petros oleh Kerajaan Sarawak sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac lalu.
“Pelantikan ini hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Sarawak.
“Selain itu, sebarang perjanjian dan pengaturan antara Petronas atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan LNG (gas asli cecair) dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








