Perdana Menteri tidak hadir Sidang Dewan Rakyat, dititah ke Istana Negara oleh Majlis Raja-Raja
KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat pagi ini menyaksikan perubahan jadual apabila Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang sepatutnya dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa ditangguhkan susulan titah Majlis Raja-Raja yang memerlukan beliau hadir ke Istana Negara.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan perkara itu pada permulaan persidangan.

Beliau menjelaskan ketiadaan Perdana Menteri bagi menjawab dua soalan daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Namun beliau tidak memperincikan sebab sebenar titah hadir ke istana.
“Hari ini sepatutnya kita ada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dengan dua soalan daripada Paya Besar dan Masjid Tanah.
“Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak dapat hadir kerana dititah oleh Majlis Raja-Raja pada pukul 10 pagi,” katanya.
Susulan itu, sidang Dewan Rakyat dimulakan dengan sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan lebih awal daripada jadual asal.
Johari memberi jaminan bahawa dua soalan tersebut akan dijadualkan semula untuk dijawab oleh Perdana Menteri pada tarikh lain tanpa perlu dimasukkan semula ke dalam senarai soalan.
Soalan pertama daripada Mohd Shahar menuntut penjelasan Perdana Menteri mengenai pendirian kerajaan terhadap pelan damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan usaha Malaysia memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara mereka.
Manakala Mas Ermieyati ingin mengetahui tahap persediaan kerajaan bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) khususnya dari segi promosi antarabangsa, penglibatan kerajaan negeri, prinsip perbelanjaan berasaskan ‘value for money’ dan sama ada satu pelancaran besar-besaran akan diadakan pada 31 Disember 2025 seperti amalan sebelum ini.
Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat kerana ia memberi peluang kepada Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan terus daripada anggota Jemaah Menteri, termasuk Perdana Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








