Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (pindaan) 2024 dibentang buat kali pertama
KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Menurut Steven Sim, bacaan kali pertama RUU tersebut adalah bagi membolehkan Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67), dipinda selepas pindaan kali pertama dibuat pada 2005.
Jelas Steven Sim yang membentangkan rang undang-undang (RUU) itu, bacaan kali kedua akan dibuat pada mesyuarat akan datang.
“Pindaan kali ini tekah diusahakan selama hampir 20 tahun bagi menyeragamkan hak serta perlindungan golongan pekerja di Sabah dengan Semenanjung Malaysia mengikut Akta Kerja 1955.
“Dalam menjayakan usaha ini, KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) berterima kasih kepada kerajaan Sabah atas kerjasama menjayakan pembentangan RUU ini, demi kepentingan 2.06 juta pekerja dan 187,365 majikan di Sabah,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Jelas Steven, pindaan Ordinan Buruh Sabah membabitkan 16 perkara utama meliputi 70 fasal untuk menyelaras undang-undang perburuhan yang merangkumi tiga akta utama yang dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, ia membabitkan Akta Kerja 1955; Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990; dan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
Antara perkara utama dalam pindaan itu membabitkan liputan pemakaian ordinan diperluas daripada pekerja bergaji RM2,500 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.
Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, manakala cuti paterniti yang tidak diperuntuk mengikut ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada bapa sebanyak tujuh hari.
Pindaan turut membabitkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.
Selain itu, Steven berkata, pindaan penyeragaman Ordinan Buruh Sarawak (Sarawak Bab 76) dengan Akta Kerja 1955 mendapat persetujuan kerajaan negeri Sarawak dan kini dalam proses perincian draf RUU yang dijangka dibentang pada sesi Parlimen akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








