POLITIK

PH ketengahkan agenda perubahan, cabar dominasi BN di Melaka – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) semakin giat mengetengahkan tawaran dasar, kepimpinan dan agenda perubahan dalam usaha mencabar dominasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, meskipun BN Plus dilihat mendahului persaingan sepanjang minggu pertama kempen.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, persaingan PRN kali ini semakin sengit, terutama dari segi strategi gabungan politik, penampilan calon dan usaha mendapatkan keyakinan pengundi.

dr tawfiq
Dr Mohammad Tawfiq.

“Saya fokuskan lebih kepada dua gabungan dominan iaitu pertama BN Plus dengan Perikatan Nasional (PN)  menggunakan pendekatan kerjasama politik dengan menekankan kesinambungan pentadbiran serta kestabilan kerajaan negeri.

“Manakala PH semakin giat mengetengahkan tawaran dasar, kepimpinan dan agenda perubahan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune bagi mengulas perkembangan kempen PRN Melaka.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan pilihan raya bukan hanya ditentukan oleh kekuatan gabungan politik, sebaliknya turut bergantung pada personaliti calon, rekod perkhidmatan dan kemampuan mereka menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, perhatian turut tertumpu kepada dua tokoh utama, iaitu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Adly Zahari yang membawa pendekatan dimensi kepimpinan masing-masing dalam kempen.

“PRN kali ini bukan sekadar pertandingan antara parti, tetapi turut menjadi medan penilaian terhadap personaliti, rekod perkhidmatan dan kemampuan calon menyelesaikan masalah rakyat. Faktor calon tempatan tetap penting,” katanya.

Dr Mohammad Tawfiq berkata, isu kos sara hidup, peluang pekerjaan belia, pembangunan setempat, banjir dan kemudahan awam turut menjadi antara perkara yang mendapat perhatian pengundi.

Beliau berkata, menjelang penghujung minggu pertama kempen, parti-parti bertanding semakin agresif menggerakkan jentera turun padang dan mempergiat kempen digital bagi mendekati kelompok pengundi berbeza.

Mengulas kerjasama politik, beliau berkata, keberkesanan hubungan BN-PN serta hubungan PH-BERSATU dalam mempengaruhi pemindahan undi antara penyokong masing-masing menjadi antara faktor yang perlu diperhatikan.

“Kerjasama di peringkat kepimpinan tidak berdepan masalah besar, tetapi masih sukar diterjemahkan secara automatik kepada sokongan akar umbi, khususnya apabila kedua-dua pihak mempunyai sejarah persaingan politik,” katanya.

Beliau turut berpandangan pertambahan jumlah pengundi berbanding PRN 2021 mewujudkan perubahan komposisi pemilih yang perlu diberikan perhatian oleh semua parti bertanding.

Katanya, gabungan yang mahu membentuk kerajaan negeri perlu memperoleh sekurang-kurangnya 15 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Pada PRN 2021, BN memenangi 21 kerusi DUN, manakala PH membawa pengalaman pentadbiran terdahulu serta tawaran dasar baharu dalam usaha mendapatkan sokongan pengundi.

“Sepanjang minggu pertama, saya lihat BN Plus mendahului dan tidak mengejutkan jika BN berpotensi besar mengekalkan status quo sebagai kerajaan Melaka berdasarkan situasi politik semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button