BERITA SEMASA

PRN Melaka: Johari Ghani, Adam Adli iringi calon BN, PH di DUN Ayer Molek

MELAKA – Dua pemimpin utama parti dalam Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), hadir di Kompleks JAPERUN Ayer Molek bagi mengiringi calon masing-masing pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tiba kira-kira jam 8.30 pagi bagi mengiringi calon BN, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Mohd Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya merupakan anak kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim hadir mengiringi calon PH, Muhammad Hakimin Mokhtar yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka.


Kerusi DUN Ayer Molek dijangka menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ridhwan dan Muhammad Hakimin.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kawasan berkenaan mempunyai seramai 24,600 pengundi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mohd Ridhwan pernah bertanding di kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, namun tewas kepada Adam Adli.

Muhammad Hakimin pula merupakan calon muka baharu yang bakal menguji sokongan pengundi di kawasan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button