Aini Ideris dinobat Tokoh Akademik Negara Ke-17
KLANG – Sumbangan besar dalam bidang perubatan veterinar, khususnya penyelidikan penyakit unggas dan bioteknologi haiwan melayakkan Prof. Emeritus Datuk Dr. Aini Ideris dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara Ke-17.
Pengiktirafan itu disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 (AAN17) yang berlangsung di sini, semalam.
Sepanjang kerjaya akademiknya, Aini menghasilkan beberapa inovasi vaksin termasuk vaksin penyakit Newcastle NDV4-UPM dan vaksin cacar ayam yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Beliau turut mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik menjadi Naib Canselor UPM bagi tempoh 2016 hingga 2020.

Zambry dalam ucapanannya berkata, golongan akademia perlu berperanan sebagai intelektual awam yang bukan sahaja menghasilkan penerbitan ilmiah, penyelidikan dan memperoleh geran, malah menyumbang idea, mencabar pemikiran konvensional serta membantu masyarakat memahami isu semasa.
Beliau turut menegaskan kecemerlangan akademik tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian dan kedudukan universiti semata-mata, sebaliknya dinilai menerusi manfaat ilmu terhadap kehidupan manusia.
Katanya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga perlu dipastikan tidak menjejaskan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritis, berkomunikasi dan membentuk jati diri.
Sementara itu, Anugerah Ahli Akademik Harapan diberikan kepada Prof. Dr. Ong Wee Jun dari Universiti Xiamen Malaysia (XMUM) dan Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP).
Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk pula dimenangi Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Khairi Abu Husain dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Anugerah Penerbitan Buku menjadi milik Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif dari Universiti Sains Malaysia (USM).
Bagi kategori Anugerah Pengajaran (Sastera dan Sains Sosial), pengiktirafan diberikan kepada Prof. Madya Dr. Saipolbarin Ramli dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala Anugerah Pengajaran (Sains Tulen) dimenangi Prof. Madya Dr. Jayanthi Arasan dari UPM.
Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains Sosial dan Sastera) pula diberikan kepada Dr. Ooi Say Keat dari USM, sementara Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Sains) dimenangi Prof. Ir. Dr. Yong Wai Fen dari XMUM.
Penerima Tokoh Akademik Negara membawa pulang wang tunai RM200,000 berserta trofi dan sijil, manakala penerima Anugerah Ahli Akademik Harapan menerima RM50,000. Penerima kategori anugerah lain masing-masing menerima RM25,000 selain trofi dan sijil.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan AAN17 merangkap Naib Canselor USM, Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.
AAN merupakan program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi yang dilaksanakan sejak 2002 menerusi Bahagian Kecemerlangan Akademik, Jabatan Pendidikan Tinggi. Penganjuran tahun ini dibuat dengan kerjasama USM dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








