UPM lancar Makmal Bionic Immersive Technology, perkasa latihan klinikal pelajar menerusi teknologi VR
SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh agenda pendigitalan pendidikan tinggi apabila melancarkan Makmal Bionic Immersive Technology di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), di sini hari ini.
Pelancaran makmal itu dijangka dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar menerusi penggunaan teknologi Realiti Maya (Virtual Reality – VR).
Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, makmal yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech Sdn Bhd itu merupakan satu langkah penting dalam mentransformasikan kaedah pengajaran dan pembelajaran, khususnya dalam bidang perubatan dan sains kesihatan.

Beliau berkata, teknologi imersif yang diperkenalkan membolehkan pelajar menjalani simulasi situasi klinikal sebenar dalam persekitaran yang selamat sebelum berdepan pesakit ketika latihan di hospital.
“Hari ini kita menyaksikan hasil kerjasama strategik antara UPM dan G Plus Tech yang berjaya merealisasikan sebuah makmal baharu dikenali sebagai Bionic Immersive Lab.
“Makmal ini menggunakan teknologi terkini bagi menyokong proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya kepada pelajar perubatan. Kita berharap kerjasama ini akan diteruskan kerana potensinya masih sangat besar untuk dikembangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan makmal berkenaan di FPSK.
Menurut beliau, walaupun kemudahan yang dibangunkan masih berada pada peringkat awal, UPM dan rakan industri akan terus menambah baik fungsi sistem termasuk memperluaskan pilihan bahasa serta kandungan pembelajaran yang lebih komprehensif.
Katanya, kelebihan utama teknologi tersebut ialah keupayaannya membawa situasi dunia sebenar ke dalam persekitaran pembelajaran secara imersif, sekali gus memberi pengalaman yang lebih realistik kepada pelajar.
“Melalui kerjasama ini, bukan sahaja pelajar UPM mendapat manfaat, malah penyedia teknologi juga berpeluang menambah baik produk mereka.
“Saya yakin hasil kolaborasi bersama UPM akan membolehkan teknologi ini diperluaskan bukan sahaja di Malaysia, malah ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas manfaat kepada pelajar, Ahmad Farhan berkata, makmal berkenaan diwujudkan bagi memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran menerusi simulasi digital yang mampu meningkatkan tahap kompetensi serta keyakinan pelajar.
Beliau berkata, pelajar kini boleh berlatih dan memahami prosedur klinikal melalui simulasi sebelum menjalani latihan sebenar di hospital atau stesen klinikal.
“Jika dahulu pelajar banyak belajar melalui pengalaman secara langsung atau kaedah cuba dan silap, kini mereka boleh menjalani simulasi yang lebih realistik dalam persekitaran yang selamat.
“Pendekatan ini dijangka meningkatkan kemahiran, kompetensi serta keyakinan mereka sebelum berdepan situasi sebenar bersama pesakit,” katanya lagi.
Menurut beliau, penggunaan teknologi VR juga mampu membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar kerana mereka telah didedahkan dengan situasi klinikal melalui latihan simulasi lebih awal.
“Generasi hari ini merupakan digital natives yang membesar dalam persekitaran teknologi.
“Justeru, pendekatan pembelajaran berasaskan teknologi seperti ini lebih dekat dengan cara mereka belajar dan mampu menjadikan proses pendidikan lebih interaktif serta berkesan,” katanya.
Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan perasmian, Ahmad Farhan berkata, kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi, malah sejauh mana institusi itu mampu mengadaptasi teknologi baharu bagi meningkatkan kualiti pembelajaran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada G Plus Tech Sdn Bhd atas komitmen menjayakan kerjasama strategik berkenaan dan berharap inisiatif itu menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan tinggi negara yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















