BERITA SEMASA

Lebih 1,000 inovator muda sertai IYRC ASEAN 2026, tampil penyelesaian AI berinspirasikan dinosaur

SERDANG – Lebih 1,000 inovator muda dari 10 negara berhimpun di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN 2026 (IYRC ASEAN 2026) yang berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga semalam.

Pertandingan anjuran International Youth Robot Association (IYRA) dan My-Robot Sdn Bhd dengan sokongan penganjur bersama Destination Odyssey Travel Solutions itu menghimpunkan peserta berusia antara empat hingga 18 tahun dari Malaysia, Thailand, Laos, Vietnam, Singapura, Indonesia, Myanmar, India dan China.

Edisi kali ini mencatat peningkatan penyertaan berbanding tahun lalu yang menghimpunkan 800 peserta di Iskandar Puteri, Johor, sekali gus membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap bidang robotik, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan generasi muda.

Iyrc
Lebih 1,000 inovator muda berhimpun di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN 2026.

Mengangkat tema “Jurassic Intelligence × AI Innovation”, pertandingan tahun ini memberi cabaran kepada peserta untuk membangunkan sistem robotik dan AI yang diilhamkan daripada cara dinosaur menyesuaikan diri, bergerak serta bertindak balas terhadap persekitaran.

Peserta dikehendaki menghasilkan penyelesaian yang mampu mengesan secara autonomi, membuat keputusan dan menyesuaikan diri dalam situasi kompleks.

Pertandingan dibahagikan kepada lima kategori iaitu Liga Asas (Foundation), Sekolah Rendah Bawah, Sekolah Rendah Atas, Sekolah Menengah dan Terbuka, dengan matlamat memupuk minat awal terhadap bidang STEM, robotik dan AI dalam kalangan pelajar di rantau ini.

Iyrc
Lebih 1,000 inovator muda berhimpun di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi menyertai Pertandingan Robot Belia Antarabangsa ASEAN 2026.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2026, Philip Tan; Pengerusi Bersama Penganjur, Olivia Ooi serta Naib Presiden Eksekutif IYRA dan MY ROBOT TIME (SZ) CO LTD, Deng Cai Mei.

Philip berkata, penganjuran IYRC ASEAN di Malaysia bertujuan menyediakan platform antarabangsa untuk golongan muda berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang robotik merentasi sempadan negara.

“Teknologi tidak mengenal sempadan, inovasi merentasi pelbagai bahasa, dan persahabatan yang terjalin menerusi pertandingan ini diharap dapat berkekalan sepanjang hayat,” katanya.

Sementara itu, Olivia berkata, penyertaan peserta dari India, China dan negara-negara ASEAN membuktikan pendidikan, inovasi dan pelancongan mampu berkembang seiring.

Menurutnya, acara seperti IYRC bukan sahaja membuka peluang pembelajaran kepada pelajar, malah turut mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan pendidikan serta penganjuran acara berteraskan inovasi di peringkat antarabangsa.

Majlis pembukaan turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, bersama wakil agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan kerjasama antarabangsa.

Antara pengisian utama ialah perarakan bendera negara peserta, gimik perasmian bertemakan biologi serta bacaan ikrar rasmi oleh peserta dan pengadil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button