TechnoMART salur RM5 bilion, buka laluan ‘startup’ tingkat daya saing peringkat global
PETALING JAYA – Malaysia memperkukuh usaha melahirkan lebih banyak syarikat pemula niaga (startup) berasaskan teknologi apabila sebanyak RM5 bilion dana pembiayaan disediakan bagi membantu inovator membangunkan serta mengkomersialkan teknologi tempatan.
Dana berkenaan diwujudkan menerusi platform TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 yang menghimpunkan 15 organisasi termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan dalam usaha mempercepat pertumbuhan ekosistem inovasi negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, platform berkenaan menjadi penghubung antara inovator, pelabur, agensi kerajaan dan institusi kewangan supaya teknologi yang dibangunkan anak tempatan mampu berkembang sehingga ke peringkat pasaran.
Katanya, kemudahan pembiayaan itu bagaimanapun tidak diberikan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada syarat serta kriteria yang ditetapkan oleh setiap organisasi terbabit.
“Kita menghubungkan 15 organisasi termasuk agensi pembiayaan dan institusi kewangan. Secara keseluruhan, nilai pembiayaan yang disediakan adalah kira-kira RM5 bilion untuk membantu startup dan inovator kita.
“Sudah tentu ia bukan diberikan begitu sahaja kerana setiap pembiayaan mempunyai syarat dan kriterianya, namun nilai yang disediakan adalah kira-kira RM5 bilion,” katanya kepada media selepas merasmikan TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 di Menara MBSB Bank, di sini, hari ini.

Antara 15 organisasi yang terlibat termasuk Cradle, SME Bank, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), MRANTI, Bioeconomy Corporation, Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), EXIM Bank, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Venture Tech, Kumpulan Modal Perdana (KMP) dan PMB Tijari.
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama agensi di bawahnya serta rakan strategik sektor kewangan itu menghimpunkan penggubal dasar, institusi kewangan, pelabur, peneraju industri, pembangun teknologi dan inovator bagi memperkukuh pembiayaan inovasi negara.
Chang berkata, TechnoMART diwujudkan bagi menangani kelemahan ekosistem inovasi yang sebelum ini bergerak secara berasingan, selain menyediakan platform nasional yang menyatukan semua pihak berkepentingan.
Menurut beliau, platform itu bukan sekadar menyelesaikan isu pembiayaan, malah melengkapkan keseluruhan rantaian inovasi dengan memastikan idea teknologi dapat dibangunkan, dibiayai dan dibawa ke pasaran.
“Kita tidak mahu Malaysia hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mahu menjadi pencipta dan pemilik teknologi sendiri, disebabkan itu semua pihak dalam ekosistem ini perlu dihubungkan supaya inovasi yang dibangunkan dapat berkembang sehingga ke pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama MIGHT (Industri), Tan Sri Datuk Seri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata, TechnoMART Malaysia kini berkembang sebagai platform nasional yang menghubungkan teknologi, pelaburan dan industri bagi mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan.
Beliau berkata, platform berkenaan berperanan mempertemukan teknologi dengan pelaburan serta membina kerjasama strategik yang mampu mengubah idea kepada perniagaan berdaya saing di peringkat global.
Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad pula berkata, kerjasama strategik antara kerajaan, institusi kewangan dan pemain industri penting bagi memastikan syarikat berasaskan teknologi tinggi memperoleh akses kepada modal, rangkaian industri serta laluan ke pasaran.
Sejak diperkenalkan pada 2018, TechnoMART Malaysia telah menganjurkan lebih 30 program membabitkan pelbagai sektor teknologi keutamaan dan kini merancang memperluaskan kerjasama antarabangsa termasuk dengan Arab Saudi bagi membuka peluang syarikat tempatan menembusi pasaran global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















