Eskayvie lonjak strategi serantau, sasar pasaran Indonesia
KUALA LUMPUR – Eskayvie terus mengorak langkah memperluas pasaran ke peringkat serantau dengan menyasarkan negara-negara ASEAN sebagai fasa pertumbuhan baharu dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam industri kesihatan dan kesejahteraan.
Pengasasnya, Dr Kartika Wati Mohamed berkata, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada inovasi berasaskan sains selain merancang pengembangan ke beberapa pasaran utama Asia Tenggara termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Kemboja, Singapura dan Brunei.
Menurut beliau, pemilihan pasaran tersebut dibuat secara strategik berdasarkan potensi pertumbuhan kukuh dalam sektor kesihatan serta peningkatan kesedaran pengguna terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan.
“Indonesia kekal sebagai pasaran tumpuan utama disebabkan populasinya yang besar serta kesesuaian dengan penawaran produk dan model perniagaan kami,” katanya pada sidang media kerjasama Eskayvie bersama Talk To My Manager (TTMM) Musim 2 di sini malam ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam jangka pendek, Eskayvie menyasarkan pertumbuhan dua digit tahunan dengan memperkukuh pasaran teras di Malaysia serta mempercepatkan momentum di pasaran serantau terpilih.
“Bagi jangka sederhana, kami menyasarkan pencapaian pendapatan mencecah ratusan juta ringgit melalui pengembangan jejak serantau yang lebih pelbagai.
“Matlamat kami bukan sekadar berkembang pesat, tetapi memastikan pertumbuhan mampan dan menguntungkan dengan imbangan antara peningkatan pendapatan, disiplin kos serta kekuatan ekosistem dan nilai jenama jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Pakar Formulasi Produk Eskayvie, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, setiap produk dibangunkan berasaskan sains dan keperluan sebenar tubuh manusia dengan kerjasama profesional bagi memastikan nutrien yang digunakan relevan khususnya dalam menyokong perkembangan kanak-kanak.
Katanya, sebagai sebahagian strategi meningkatkan kesedaran mengenai nutrisi kanak-kanak, Eskayvie melaksanakan kempen menyeluruh melibatkan pelbagai platform termasuk radio, televisyen, papan iklan, kempen digital, media sosial, program sekolah serta komuniti.
“Inisiatif ini turut disokong lebih 100,000 usahawan Eskayvie Nexus di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, kerjasama dengan Talk To My Manager Musim 2 dijadikan platform strategik untuk menyampaikan mesej kepentingan sokongan harian, persekitaran positif serta peranan keluarga dalam membentuk potensi kanak-kanak.
Eskayvie turut memperkenalkan kempen “Imbas & Menang” yang menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM300,000 termasuk sebuah Proton eMas 7 sebagai hadiah utama.
Pemenang akan dipilih setiap minggu sepanjang 10 episod program bermula 19 April hingga 21 Jun depan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan khususnya ibu bapa.
Selain ganjaran, kempen tersebut membawa mesej bahawa setiap usaha kecil dalam membesarkan anak-anak merupakan pelaburan bermakna untuk masa depan mereka.
Program TTMM Musim 2 yang bakal bersiaran secara langsung di Astro Ria pada pukul 9 malam itu menampilkan barisan selebriti terkenal antaranya Adira dan Anggrek, Ani Maiyuni dan Viviana, Datuk A. Aida dan Azeva serta Datuk Fazley dan Fariedz Fazley.
Turut serta dalam program selama 10 minggu itu ialah Datuk Seri Vida dan Cik B, Jamilulhayat dan Hussain, Linda Jasmine dan Ratu, Nana Mahazan dan Althea, Pak Azad dan Amarra serta Safura dan Kim Khairii.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








