BISNES & EKONOMI

KITA @ Cybersouth tampilkan MYDIN, perkukuh kemudahan penduduk

DENGKIL – MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) bakal menjadi pasar raya pertama di perbandaran KITA @ Cybersouth, sekali gus memperkukuh ekosistem komersial dan memenuhi keperluan harian kira-kira 67,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, perkembangan KITA @ Cybersouth memerlukan kemudahan dan perkhidmatan yang terus berkembang selaras dengan keperluan penduduk.

“Sejajar dengan perkembangan KITA @ Cybersouth, adalah penting untuk memastikan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di dalam perbandaran ini terus berkembang selaras dengan keperluan para penduduk.

“Kehadiran MYDIN sebagai pasar raya pertama di perbandaran ini merupakan satu lagi langkah ke arah mewujudkan sebuah komuniti yang lebih lengkap, dan MYDIN merupakan jenama tempatan yang amat dipercayai serta mempunyai pemahaman yang kukuh terhadap keperluan pengguna di Malaysia.

“Sudah tentu kami amat berbesar hati serta mengalu-alukan kehadiran MYDIN ke KITA @ Cybersouth,” katanya dalam kenyataan susulan pemeteraian Perjanjian Penyewaan antara LBS dan MYDIN di sini baru-baru ini.

Perjanjian berkenaan dimeterai dalam majlis menandatangani perjanjian rasmi pada 5 September lalu di Galeri Jualan LBS, KITA @ Cybersouth, bersempena sambutan KITA Merdeka anjuran LBS.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Lim Hock Guan, serta Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin sambil disaksikan oleh Lim Hock San dan Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmat Mydin.

mydin
LBS Bina Group Berhad dan MYDIN Mohamed Holdings Berhad memeterai Perjanjian Penyewaan bagi pembukaan pasar raya pertama MYDIN di KITA @ Cybersouth, sekali gus memperkukuh ekosistem komersial dan kemudahan harian penduduk di perbandaran berkenaan.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, pembukaan MYDIN sebagai pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth mencerminkan keyakinan terhadap potensi Cybersouth yang sedang berkembang pesat serta menarik semakin ramai penduduk, khususnya golongan keluarga muda.

“Kerjasama dengan LBS ini amat bermakna buat MYDIN, memandangkan pengalaman LBS dalam membangunkan komuniti yang kukuh serta kawasan pertumbuhan baharu.

“Keputusan untuk membuka MYDIN sebagai pasar raya pertama di KITA @ Cybersouth turut mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi besar Cybersouth yang sedang berkembang pesat dan menarik semakin ramai penduduk, khususnya golongan keluarga muda,” katanya.

Beliau berkata, MYDIN mahu menjadi sebahagian daripada komuniti itu dengan menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, selain menawarkan pengalaman membeli-belah yang mudah dan selesa kepada penduduk.

KITA @ Cybersouth yang merentasi kawasan seluas kira-kira 633 ekar Tanah Rizab Melayu itu dirancang sebagai perbandaran bersepadu yang menghimpunkan komponen kediaman, penawaran komersial, jaringan perhubungan serta kemudahan komuniti.

MYDIN akan mendiami kawasan tanah seluas 1.37 ekar dengan binaan 24,000 kaki persegi, melengkapi pembangunan KITA Avenue Square yang kini dalam pembinaan dan ditawarkan pada harga bermula RM1,399,000.

Dengan anggaran penduduk kira-kira 67,000 orang, majoriti komuniti KITA @ Cybersouth terdiri daripada golongan muda dengan kira-kira 63 peratus pembeli berusia 40 tahun ke bawah.

Pembangunan keseluruhan yang dirancang pula membabitkan kira-kira 16,000 unit, dengan sekitar 40 peratus telah siap dibangunkan, manakala lima peratus lagi sedang dalam pembangunan dan baki 55 peratus masih di peringkat perancangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button