BERITA SEMASADALAM NEGERI

Tuduh Mydin untung besar hasil SARA satu niat jahat – pemilik Mydin

PETALING JAYA – Kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mengaitkan rangkaian pasar raya Mydin dengan keuntungan besar hasil pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disifatkan sebagai satu sangkaan jahat dan tidak adil terhadap syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin berkata, tuduhan kononnya Mydin mendapat manfaat besar daripada perbelanjaan penerima SARA adalah tidak berasas malah menyimpang daripada objektif sebenar program bantuan kerajaan itu.

Beliau mengulas dakwaan Khoo di Dewan Rakyat yang mengatakan bahawa ramai penerima SARA mungkin berbelanja melebihi RM100 dan memilih untuk membeli-belah di Mydin, sekali gus menggambarkan seolah-olah pengurusan pasar raya berkenaan ‘terlalu gembira’ dengan situasi tersebut.

“Dia tengok saya menari-nari dalam video dia kata saya gembira sebab untung banyak, tidak betul macam tu.

“Saya sendiri selalu cakap kerajaan perlu bantu peniaga kecil. Kalau bukan Mydin yang terlibat, beri sahaja kepada peniaga kecil pun tak mengapa,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di platform X.

Menurut Ameer, objektif utama pelaksanaan SARA adalah untuk memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat di samping menggalakkan seramai mungkin peruncit menyertai sistem tersebut, bukannya untuk menguntungkan mana-mana pihak tertentu.

Beliau turut mengakui tidak menolak kemungkinan kerajaan pada masa depan akan mengecualikan pasar raya besar daripada program berkenaan.

“Siapa tahu, satu hari nanti kerajaan mungkin kata, ‘minta maaf, pasar raya besar yang berniaga berbilion tak perlu lagi sertai program ini,’” katanya.

Ameer juga berkata, dakwaan Mydin menerima keuntungan besar hasil pelaksanaan bantuan kerajaan itu juga tidak wajar kerana Poay Tiong tidak menyebut nama syarikat lain yang menerima ‘habuan’ lebih besar.

Dalam pada itu, Ameer merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pelaksanaan SARA yang disifatkannya sebagai inisiatif murni kerana bukan sahaja membantu rakyat, malah turut memberi sokongan kepada para peniaga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button