RUU Makanan 2026: MyEnvHeat bantah PTM diberi kuasa penguatkuasaan
KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Malaysia (MyEnvHeat) menggesa frasa yang membolehkan Pegawai Teknologi Makanan (PTM) dilantik sebagai Pegawai Diberi Kuasa (PDK) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Makanan (Pindaan) 2026.
Persatuan itu berpandangan cadangan berkenaan berisiko mewujudkan pertindihan fungsi antara penyiasatan dan analisis makmal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebebasan bukti saintifik dalam prosiding mahkamah.
MyEnvHeat memaklumkan Fasal 2(g) RUU berkenaan mencadangkan penambahan frasa “atau mana-mana pegawai teknologi makanan” dalam takrif PDK di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281].
“RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu, manakala huraian pindaan berkenaan hanya menyebut ia dibuat selaras dengan dasar semasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan semalam.
MyEnvHeat berkata, bantahan itu bukan bertujuan mempertikaikan kepakaran atau integriti individu PTM, sebaliknya berkaitan reka bentuk sistem penguatkuasaan, pengasingan fungsi dan perlindungan integriti perundangan keselamatan makanan.
Menurut persatuan itu, penamaan Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) berbeza daripada cadangan memasukkan PTM sebagai PDK kerana PKP dan PPKP merupakan skim perkhidmatan bersepadu yang menjadi teras penguatkuasaan kesihatan awam.
“Pelantikan PTM sebagai PDK dianggap peluasan fungsi kepada profesion yang berteraskan analisis dan teknologi makanan,” katanya lagi.
MyEnvHeat berkata, Akta Makanan 1983 membezakan fungsi juruanalisis dengan PDK menerusi Seksyen 3, manakala Seksyen 19 memperuntukkan peranan juruanalisis memperakui keputusan analisis sebelum PDK memulakan prosiding.
“Seksyen 20 dan 21 menyediakan mekanisme bagi juruanalisis disoal balas serta sampel dianalisis semula oleh juruanalisis lain,” katanya lagi.
Persatuan itu bimbang sekiranya PTM turut diberikan kuasa penyiasatan, satu rangkaian kes boleh membabitkan fungsi khidmat nasihat kepada industri, audit, penyiasatan, analisis sampel dan keterangan pakar yang dilaksanakan oleh profesion sama.
“Keadaan itu dikhuatiri membuka ruang kepada pihak pembelaan mempersoalkan kesaksamaan bukti di mahkamah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, MyEnvHeat berpandangan penambahan kategori PDK tidak semestinya mempercepatkan penguatkuasaan kerana Akta 281 menetapkan tempoh 90 hari bagi pengeluaran perakuan juruanalisis dan 150 hari bagi permulaan prosiding.
Menurut persatuan itu, kelewatan analisis makmal boleh menjejaskan pendakwaan, justeru keutamaan sepatutnya diberikan kepada usaha mempercepatkan keputusan analisis dan meningkatkan kapasiti makmal.
MyEnvHeat turut merujuk jumlah lebih 6,000 PKP dan PPKP di bawah KKM yang dilatih khusus dalam pemeriksaan, pensampelan, penyiasatan dan pendakwaan.
Sehubungan itu, persatuan berkenaan menggesa kerajaan memberi tumpuan kepada pengisian kekosongan jawatan dan kestabilan perjawatan PPKP, selain membentangkan jumlah PDK aktif serta analisis jurang kapasiti penguatkuasaan sebelum memperluas pelantikan kepada profesion lain.
MyEnvHeat juga meminta KKM menjelaskan asas dasar yang digunakan bagi menyokong pindaan berkenaan, termasuk bagaimana bantahan terdahulu oleh KIKSM dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dipertimbangkan sebelum RUU dibentangkan.
Persatuan itu mencadangkan frasa khusus berkaitan PTM digugurkan daripada Fasal 2(g), dengan mengekalkan PKP, PPKP serta mekanisme pelantikan individu berkelayakan yang sesuai oleh Menteri mengikut keperluan.
“Jika kepakaran PTM diperlukan dalam kes tertentu, pelantikan individu berkelayakan boleh dibuat menerusi mekanisme sedia ada tanpa menjadikan keseluruhan profesion itu sebagai kategori PDK,” katanya lagi.
MyEnvHeat turut berkata, sumber PTM wajar diutamakan untuk memperkukuh keupayaan makmal, membangunkan kaedah analisis dan meningkatkan penilaian risiko bagi memastikan sistem keselamatan makanan negara kekal telus serta berintegriti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








