BERITA SEMASA

KKM belum terima cadangan rasmi pengambilan jururawat Indonesia

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) belum menerima sebarang cadangan rasmi daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru berhubung kerjasama strategik dengan hospital di Malaysia bagi membolehkan jururawat dari Indonesia berkhidmat di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini juga tiada permohonan dikemukakan berhubung perkara tersebut.

“Kalau ada, kita sedia pertimbangkan. Namun keputusan bergantung kepada faktor keberkesanan, keselamatan dan keperluan.

“Kita juga perlu berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan pihak berkaitan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan cadangan KJRI Johor Bahru sebelum ini yang mahu jururawat Indonesia ditempatkan di hospital Malaysia bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja sektor perubatan.

Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto dilapor berkata, langkah itu bersifat ‘menang-menang’ memandangkan kira-kira 70 peratus pesakit antarabangsa di Malaysia adalah warga Indonesia.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly mengakui cadangan tersebut bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan segera walaupun Malaysia kini berdepan kekurangan jururawat.

“Kita akui, kita kekurangan kira-kira 5,000 jururawat untuk keperluan segera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button