BERITA SEMASA

Fadhlina seru Ahli Parlimen tidak bersikap jumud dalam martabat bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyeru Ahli-ahli Parlimen agar tidak bersikap jumud dalam memartabatkan bahasa Melayu, memandangkan perbendaharaan kata sentiasa berkembang.

Dalam ucapan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini, Fadhlina menegaskan bahawa banyak perkataan yang biasa digunakan kini dianggap klasik.

Jelas Fadhlina, sebagai bahasa yang hidup, kosa kata bahasa Melayu sentiasa berkembang penggunaannya.

“Ada yang suatu ketika dahulu kerap digunakan, kini sudah dianggap klasik, contohnya dahulu digunakan ‘tetuang udara’ namun kini, ‘radio’.

“Dahulu perkataan ‘ujana’ yang dianggap klasik kini meluas digunakan yang merujuk ‘taman’, ujana ilmu yang bermaksud taman ilmu, ujana buku yang bermaksud taman yang dipenuhi buku-buku.

“Sama ada sedar atau tidak, sudah banyak kata serantau Alam Melayu atau Nusantara yang sudah terserap ke dalam bahasa Melayu kita.

“Bukan sahaja kata serantau, malah kata-kata dialek, bahasa sukuan dan sebagainya ada yang sudah diterima sebagai bahasa standard,” katanya.

Tambah Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, proses penyerapan sesuatu bahasa ke dalam bahasa lain berlaku dalam semua bahasa di dunia ini.

Katanya, perkataan ‘ketimbang’ merupakan perkataan yang terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia yang bermaksud kata untuk menandai perbandingan iaitu ‘dengan’.

Jelas beliau lagi, kata ‘ketimbang’ sama erti atau bersinonim dengan kata ‘daripada’.

“Perkataan ‘peluncuran’ dengan maksud yang sama dengan ‘pelancaran’, iaitu hal atau perbuatan memperkenalkan produk atau program semakin banyak digunakan oleh pengguna bahasa Melayu sebagai variasi dalam konteks yang bersesuaian.

“Dalam konteks ini, perkataan ‘peluncuran’ mengalami peluasan makna. Sama halnya dengan perkataan ‘pelancaran’.

“Dahulunya, kata pelancaran tidak digunakan untuk merujuk kepada hal atau perbuatan melancarkan produk atau program.

“Kedua-dua perkataan ini ditemukan penggunaannya dalam bahasa Melayu berdasarkan carian daripada pangkalan data korpus bahasa Melayu yang dibangunkan oleh DBP, cuma belum terakam dalam kamus terbitan DBP,” katanya.

Pada masa yang sama, Fadhlina berkata, kata ini akan dimasukkan dalam edisi kedua Kamus Dewan Perdana (2020).

“Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, kecoh di Dewan Rakyat susulan isu bahasa yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 Oktober lalu.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa bahawa istilah ‘ketimbang’ itu tidak didapati dalam perbendaharaan kata DBP.

Sebaliknya Rosol berkata, menerusi carian dalam Internet, perkataan tersebut membawa maksud kencing, tipu dan sembang.

DBP dalam kenyataannya sebelum ini menyatakan Perkataan ‘ketimbang’ yang sering disebut oleh Menteri Kewangan itu akan dimasukkan dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua.

DBP berkata, perkataan tersebut merupakan kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button