BERITA SEMASA

KPKM tubuh jawatankuasa khas, rangka lapan strategi pulihkan NAFAS

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bebas bagi mengkaji semula pengoperasian Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, selain menjalankan siasatan untuk memulihkan kembali reputasi dan imej NAFAS, jawatankuasa itu turut berperanan merangka satu pelan perniagaan baharu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sehubungan itu, kata Arthur, KPKM telah merangka lapan strategi pembaharuan dan hala tuju dalam menstruktur semula agensi itu supaya dapat dipulihkan serta berfungsi mengikut objektif asalnya.

“Pertama, penambahbaikan tatakelola NAFAS melibatkan pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 1983 ke arah menambah baik komposisi dan tatakelola ahli jemaah pengarah (AJP). Ia bagi mengelak pertindihan kuasa dan fungsi antara pengurusan dan AJP NAFAS, serta menstruktur dan memperkasa peranan lembaga pengarah (ALP) dalam syarikat subsidiari NAFAS.

“Kedua, penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus mengikut Skim Perkhidmatan Personel NAFAS yang diluluskan oleh Pendaftar.

“NAFAS juga perlu menyusun semula kakitangan sedia ada mengikut bidang keutamaan dalam operasi dan perniagaan NAFAS. Kawalan dan had kuasa kakitangan NAFAS akan ditetapkan dalam dokumen Limit of Authority (LoA).

“Ketiga, penstrukturan semula syarikat subsidiari NAFAS melalui proses penggabungan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan penjimatan kos dan melaksanakan proses penutupan bagi mana-mana syarikat yang tidak layak serta menjadi liabiliti kepada akaun kumpulan NAFAS,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang meminta KPKM menyatakan strategi pembaharuan menyeluruh untuk melindungi reputasi dan integriti NAFAS serta memulihkan keyakinan ahli peladang di samping memantapkan pengurusan serta operasi agensi berkenaan.

Selain itu, KPKM turut melaksanakan pengukuhan mekanisme semak dan imbang melalui penubuhan jawatankuasa khas yang bebas dan bertanggungjawab mengawasi keputusan penting serta mencegah penyalahgunaan kuasa.

“Penguatkuasaan kod etika dan integriti juga dilaksakan bagi memastikan semua AJP dan kakitangan mematuhi standard integriti yang tinggi. AJP dan kakitangan diwajibkan menghadiri latihan etika, tadbir urus baik, dan kesedaran undang-undang.

“Strategi lain, mempelbagaikan sumber pendapatan NAFAS dengan melaksanakan kajian semula perniagaan dan projek semasa bagi memfokuskan kepada perniagaan yang berdaya maju dan tidak terlalu bergantung kepada sektor pembekalan baja,” katanya lagi.

NAFAS sebelum ini terpalit kontroversi apabila wujud dakwaan aktiviti kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pendaftar Pertubuhan Peladang menggantung Perlembagaan NAFAS berkuat kuasa serta merta.

Dalam tempoh penggantungan itu, Jemaah Pengarah dan pihak pengurusan NAFAS tidak mempunyai kuasa seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan pertubuhan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button