LUAR NEGARA

Gempa bumi 7.7 magnitud gegar Panama

PANAMA CITY – Gempa bumi bermagnitud 7.7 menggegarkan Panama pada Jumaat, mengakibatkan kerosakan pada bangunan dan jalan raya di bahagian tengah negara itu, selain memaksa lapangan terbang utama ditutup sementara.

Tiada laporan kematian atau kecederaan disahkan setakat laporan awal kejadian, manakala beberapa kawasan terjejas dilaporkan sukar diakses akibat kerosakan laluan darat.

Menteri Kesihatan, Fernando Boyd berkata, wilayah Herrera, Cocle dan Los Santos antara kawasan paling teruk terjejas, dengan bandar Tonosi di Los Santos terputus hubungan melalui jalan darat.

“Kami sedang mencari jalan untuk sampai ke sana melalui udara kerana laluan darat tidak boleh digunakan,” katanya.

Presiden Panama, Jose Raul Mulino, menyifatkan kejadian itu sebagai bencana besar dan memaklumkan beberapa jalan raya runtuh sepenuhnya.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada pukul 5.56 petang GMT, dengan pusat gempa terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar kecil Pitaloza Arriba di wilayah Herrera.

Gegaran yang berlarutan kira-kira seminit itu dirasai di seluruh negara yang mempunyai kira-kira 4.5 juta penduduk.

Di Panama City, kira-kira 200 kilometer dari pusat gempa, orang ramai dilaporkan panik dan bergegas meninggalkan bangunan tinggi untuk menyelamatkan diri.

“Saya ketakutan kerana gegaran sangat kuat dan berpanjangan. Barang berat seperti almari, katil dan semua peralatan dapur turut bergegar,” kata Salomon Andion, 46, kepada media tempatan selepas mengosongkan kediamannya di tingkat 15.

Rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan air melimpah dari kolam renang di bumbung sebuah bangunan melebihi 20 tingkat. Rakaman lain memaparkan sebuah jambatan merentasi Terusan Panama bergegar kuat ketika kenderaan masih melaluinya.

Amaran tsunami turut dikeluarkan bagi kawasan timur Lautan Pasifik susulan gempa itu sebelum ditarik balik kemudian.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Panama City ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, manakala beberapa penerbangan dilencongkan ke lapangan terbang lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button