Tiada jalan Persekutuan rosak akibat gempa bumi di Segamat
AMPANG – Tiada jalan Persekutuan di Segamat termasuk di Yong Peng mengalami kerosakan akibat siri gempa bumi yang melanda kawasan itu, baru-baru ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang mengesahkan perkara itu berkata, pemeriksaan Jabatan Kerja Raya (JKR) setakat ini tidak menemukan sebarang kerosakan pada lebuh raya atau laluan jalan raya Persekutuan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tidak ada kerosakan pada jalan Persekutuan atau lebuh raya.
“Saya tak pasti jalan lain tetapi untuk untuk Jalan Persekutuan tidak ada kerosakan dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen Satu Persimpangan Bertingkat Sungai Long-Persimpangan Bertingkat Ampang, di sini hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui JKR akan terus membantu agensi berkaitan untuk melakukan pemantauan berterusan khususnya di Johor.
Untuk rekod, Segamat merekodkan tiga kejadian gempa bumi lemah masing-masing pada Ahad, Rabu dan semalam, dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1.
Pagi tadi, satu lagi siri gegaran berlaku di timur laut Segamat bermagnitud 3.4.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








