LUAR NEGARA

Gempa bumi kuat gegar Kamchatka, amaran tsunami dikeluarkan hingga ke Amerika Utara

MOSCOW – Satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka di timur jauh Rusia hari ini, mencetuskan kebimbangan meluas apabila beberapa negara termasuk Jepun dan Amerika Syarikat mengeluarkan amaran tsunami.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa yang berlaku pada pukul 8.25 pagi waktu tempatan itu pada awalnya dianggarkan bermagnitud 8.0, namun dikemas kini kepada 8.7 oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gegaran tersebut berlaku pada kedalaman 19.3 kilometer di dasar laut.

Susulan itu, amaran tsunami dikeluarkan meliputi wilayah Hokkaido dan Honshu di Jepun, serta kawasan pantai barat Amerika Utara dari British Columbia di Kanada hingga ke sempadan California-Mexico.

Negeri Alaska dan kepulauan Hawaii turut berada dalam radar pemantauan gelombang tsunami.

Di Rusia, agensi berita TASS melaporkan suasana panik melanda bandar Petropavlovsk-Kamchatsky apabila penduduk bertempiaran lari keluar dari kediaman masing-masing selepas gegaran mengakibatkan kabinet tumbang, cermin tingkap pecah, kereta bergoyang dan balkoni bergegar.

Beberapa kawasan turut dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik dan liputan telefon mudah alih, manakala penduduk di kawasan rendah termasuk di Pulau Sakhalin telah diarahkan untuk berpindah ke kawasan lebih tinggi sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa kini sedang memantau situasi dengan rapi dan orang ramai dinasihatkan agar terus mengikuti perkembangan serta arahan lanjut daripada pihak berkuasa tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button