LUAR NEGARA

Gempa bumi berganda gegar Venezuela, ratusan pasukan kecemasan dikerah bantu operasi menyelamat

CARACAS – Venezuela dilanda dua gempa bumi kuat berturut-turut yang menggegarkan kawasan utara negara itu semalam, menyebabkan kemusnahan besar termasuk runtuhan bangunan di ibu negara serta mencetuskan operasi besar-besaran mencari dan menyelamat.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan gempa pertama bermagnitud 7.2 berlaku diikuti gegaran lebih kuat bermagnitud 7.5 hanya kira-kira 40 saat kemudian, menjadikannya antara siri gempa paling merosakkan pernah direkodkan di rantau itu.

USGS turut memberi amaran bahawa berkemungkinan besar jumlah korban adalah tinggi selain bencana itu dijangka memberi kesan secara meluas.

Menurut laporan CNN, susulan kejadian itu, kerajaan Venezuela mengesahkan terdapat kematian dan mengisytiharkan darurat bagi membolehkan operasi kecemasan digerakkan segera.

Ratusan anggota bomba, pasukan penyelamat dan petugas perubatan dilaporkan dikerahkan ke kawasan terjejas bagi mencari mangsa yang masih terperangkap serta menilai kerosakan struktur bangunan.

Di Caracas, saksi menggambarkan keadaan sebagai ‘seperti filem seram’ apabila banyak bangunan dilaporkan mengalami kerosakan teruk dan sebahagiannya runtuh akibat gegaran kuat tersebut.

Seorang penduduk yang pernah mengalami gempa bumi pada 1967 berkata, gegaran kali ini jauh lebih kuat dan tidak pernah dialaminya sepanjang hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, Pusat Amaran Tsunami Amerika Syarikat pada awalnya mengeluarkan amaran risiko tsunami bagi beberapa kawasan Caribbean termasuk Puerto Rico dan Kepulauan Virgin, namun amaran tersebut kemudiannya ditarik balik selepas penilaian lanjut mendapati tiada ancaman tsunami.

Sementara itu, bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro menyuarakan solidariti terhadap rakyat negara itu melalui satu hantaran di saluran Telegram rasminya.

Dalam mesej tersebut, beliau menyeru perpaduan nasional, sokongan komuniti serta kerjasama penuh terhadap pasukan penyelamat dan perubatan yang sedang bertugas di lapangan.

“Tiada sesiapa harus ditinggalkan, setiap komuniti perlu menjaga anak-anak, warga emas dan golongan yang sakit,” menurut mesej itu.

Maduro turut menzahirkan keyakinan bahawa Venezuela akan bangkit daripada bencana tersebut dengan kekuatan dan solidariti rakyatnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button