Gempa bumi Jepun: Angka kematian meningkat kepada 23
TOKYO – Angka kematian akibat gempa bumi besar yang melanda Jepun, kelmarin meningkat kepada sekurang-kurangnya 23 orang ketika operasi mencari mangsa yang masih terperangkap terus dijalankan.
Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 62 orang cedera, menurut kerajaan wilayah berkenaan, lapor The Guardian.
Jumlah itu terus meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa angka korban dan kecederaan akan bertambah.
“Terdapat mangsa yang masih menunggu untuk diselamatkan dan keadaan ini merupakan perlumbaan dengan masa.
“Kami akan mengerahkan segala usaha untuk mencari dan menyelamatkan seramai mungkin mangsa,,” kata Perdana Menteri, Sanae Takaichi.
Hampir 5,000 anggota Pasukan Pertahanan Jepun yang dikerahkan ke kawasan terjejas dijangka berdepan cabaran apabila suhu meningkat sehingga 35 darjah Celsius, hari ini.
Selain itu, satu gempa susulan bermagnitud 5.8 yang berlaku malam tadi turut menyukarkan lagi usaha menyelamat.
Kira-kira 170 anggota penyelamat sedang menjalankan operasi mencari di pusat beli-belah Aeon di bandar Kashima, yang ketika kejadian dipenuhi ribuan pengunjung.
Syarikat pengendali pusat beli-belah itu memaklumkan, kira-kira 3,000 pelanggan berjaya dipindahkan ke kawasan tempat letak kereta sebelum satu letupan gas berlaku di bahagian lain bangunan, ketika masih terdapat pekerja di dalam premis berkenaan.
Setakat ini, seramai lapan mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan, namun tiga daripadanya disahkan meninggal dunia.
Rakaman media Jepun menunjukkan sebahagian siling pusat beli-belah itu runtuh, manakala kepingan logam dan pelbagai serpihan bertaburan di sekitar kawasan ketika anggota penyelamat yang memakai topi keselamatan dan pelitup muka menjalankan operasi pencarian.
Seoarang pegawai wilayah Kumamoto memaklumkan, hampir 34,900 kediaman masih terputus bekalan elektrik, manakala 15,000 lagi tidak mempunyai bekalan air.
Lebih 8,800 penduduk telah meninggalkan kediaman masing-masing dan berlindung di lebih 400 pusat perlindungan, yang turut dilengkapi sumber kuasa tambahan bagi membolehkan penggunaan penyaman udara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















