Polis tahan dua pelajar kolej susulan penemuan jasad bayi dengan kesan tikaman
JOHOR BAHRU – Polis menahan sepasang pelajar kolej berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Taman Setia Mutiara, Kluang, Johor semalam.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima laporan mengenai seorang pelajar perempuan dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang kerana dipercayai baru melahirkan anak.
Beliau memberitahu, pelajar itu menghubungi gurunya selepas melahirkan bayi tersebut sebelum dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan, pelajar itu telah melahirkan bayi dan terdapat satu lagi bayi perempuan dalam kandungannya.
“Siasatan lanjut di rumah sewanya menemukan mayat bayi perempuan yang sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu sidang media pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Pemeriksaan ke atas jasad bayi berkenaan turut menemukan beberapa kesan tikaman pada tubuh mangsa namun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Susulan itu, pihak polis turut menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 19 tahun yang disyaki teman lelaki pelajar perempuan itu bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atau cuba menyebabkan kematian bayi yang baru dilahirkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |















