JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan sabitan, hukuman penjara ibu Zayn Rayyan didengar 19 Ogos

SHAH ALAM – Rayuan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf bagi mengetepikan sabitan serta hukuman penjara lima tahun yang dijatuhkan terhadapnya selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya akan didengar Mahkamah Tinggi, di sini pada 19 Ogos depan.

Pada tarikh sama, mahkamah akan turut mendengar rayuan silang yang dikemukakan pihak pendakwaan berhubung hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap wanita berusia 31 tahun itu.

Keputusan menetapkan tarikh pendengaran dibuat Hakim Noor Hisham Ismail selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan pihak pendakwaan memerlukan masa untuk memfailkan hujahan balas terhadap hujahan tambahan yang dikemukakan pihak pembelaan.

Semasa prosiding, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira menyatakan tiada bantahan sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi pendengaran rayuan tersebut, lapor Kosmo! Online.

Terdahulu, Ismanira memfailkan petisyen rayuan pada Januari lalu menerusi Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Pada 31 Oktober tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan, selain Ismanira dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM3,000.

Selain itu, beliau turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara, manakala permohonan penangguhan hukuman turut ditolak.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ismanira untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun itu selepas Hakim Datuk Aslam Zainuddin meneliti afidavit serta hujahan kedua-dua pihak.

Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan yang berusia enam tahun ketika kejadian, didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai hingga ke kawasan sungai berhampiran apartment berkenaan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button