Nahas tiga beranak: Pemandu Perodua Aruz memandu di bawah pengaruh dadah direman empat hari
KAJANG – Pemandu Perodua Aruz yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan tiga beranak di Jalan Batu 17, Hulu Langat semalam, direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah reman terhadap lelaki berkenaan dibenarkan sehingga 2 Ogos.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan yang dijalankan selepas kemalangan tersebut.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 7.56 pagi semalam, tiga sekeluarga yang menaiki sebuah motosikal maut selepas dirempuh Perodua Aruz di Jalan Batu 17, Hulu Langat.
Mangsa dikenal pasti sebagai Hafifi Rahman Rahmat, 34, isterinya, Nik Aishah Asilan Nik Mohd Zamzuri, 32, dan anak bongsu mereka, Muhammad Rafie Hanzal, 3, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, ketika kejadian Hafifi Rahman dalam perjalanan menghantar isterinya berniaga nasi kukus berhampiran stesen minyak Petronas di Nanding, selain membawa anak bongsu mereka ke tadika.
Susulan kejadian itu, polis menahan pemandu Perodua Aruz terbabit selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif methamphetamine.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol sehingga menyebabkan kematian, selain Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















