Suspek didakwa pertikai azan, solat Jumaat disenarai hitam ke luar negara
SHAH ALAM – Polis mengesahkan suspek lelaki dalam kes isu azan di Surau Taman Seraya disenarai hitam daripada meninggalkan Malaysia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tindakan tegas itu diambil sejurus kertas siasatan dibuka susulan beberapa laporan diterima termasuk daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) surau tersebut.
“Ini disebabkan nama suspek itu telah didaftarkan di lapangan-lapangan terbang sekiranya ada (suspek untuk keluar negara), akan dibuat tangkapan,” katanya ketika ditemui pada program Larian Diraja Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat di sini hari ini.
“Justeru, secepat mungkin sekiranya masyarakat mengetahui keberadaan beliau, kita berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya supaya dapat menyegerakan dan membantu siasatan,” katanya.
Jelas beliau, suspek tersebut sememangnya dicari bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang tular berhubung kes azan berkenaan.
Beliau kemudiannya memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Shazeli memaklumkan berdasarkan siasatan mendapati suspek tempatan berkenaan merupakan antara penghuni taman tersebut.
Tegasnya, pihaknya masih mengenal pasti motif sebenar suspek bertindak sedemikian.
“Jadi, beri kami ruang untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil kepada semua pihak yang terlibat. Insya Allah kita akan update dari semasa ke semasa,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, AJK Surau Taman Seraya tampil membuat 10 laporan polis susulan dakwaan gangguan melibatkan seorang penduduk setempat yang melemparkan tuduhan berbaur fitnah dan ancaman serta ugutan kepada Pengerusi surau tersebut.
Pengurusan surau tersebut mendakwa, berdepan gangguan berpanjangan daripada seorang individu yang berterusan mempertikaikan beberapa perkara berkaitan pengurusan surau termasuk azan dan solat Jumaat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







