BERITA SEMASA

MCMC siasat individu muat naik kandungan jelik terhadap kerabat Diraja Terengganu

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, kandungan tersebut didapati menyentuh sensitiviti institusi Diraja iaitu 3R (Race, Religion and Royalty) serta mengandungi unsur penghinaan dan ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan gangguan terhadap ketenteraman negara.

“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari 2026.

“Dalam sesi tersebut, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” kata kenyataan tersebut.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

MCMC menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Diraja.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button