BERITA SEMASA

MCMC, DBKK tandatangani MoU jadikan Kota Kinabalu bandar pintar

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi pelaksanaan program bandar pintar di seluruh kawasan Kota Kinabalu, Sabah.

Kerjasama strategik ini adalah bagi memperkukuh jalinan hubungan sedia ada dalam menjadikan bandar raya tersebut sebuah bandar pintar yang komprehensif, meningkatkan infrastruktur digital, memperluas akses kepada teknologi komunikasi, serta melaksanakan program pendidikan digital untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Melalui MoU ini, liputan Internet akan ditambah baik di seluruh kawasan Kota Kinabalu bagi menyokong perkhidmatan digital Kerajaan Negeri Sabah, dan penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui.

“Selain itu, MCMC akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DBKK dalam aspek yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

“MoU ini turut meneroka kerjasama berkaitan e-dagang dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kawasan Kota Kinabalu yang menyasarkan penglibatan komuniti di kawasan NADI,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) itu dihadiri Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, sambil disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Hadir sama, Pembantu Menteri merangkap Menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Abidin Madingkir; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Sr. Safar Untong Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Selain itu, beberapa inisiatif lain akan turut akan turut dilaksanakan, termasuk mempertingkat keselamatan awam melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) dan pusat gerakan, sistem pengurusan pengangkutan awam, pemerkasaan pendidikan digital, serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.

“Kesemua aspek kerjasama dan inisiatif tersebut bakal melonjakkan bandaraya Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya pintar yang efisien, inovatif dan lestari sekali gus memacu ekonomi negeri Sabah ke tahap yang lebih baik,” kata MCMC lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button