Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perkukuh perlindungan kanak-kanak di platform digital
KUALA LUMPUR – Kajian terkini mengenai keselamatan digital menunjukkan tahap kebimbangan yang tinggi terhadap kanak-kanak dan remaja di alam maya.
Menurut laporan Disrupting Harm Malaysia oleh SafeOnline Global dan UNICEF (2023), sebanyak 4 peratus pengguna internet berumur 12 hingga 17 tahun mengalami eksploitasi seksual dalam talian dalam tempoh setahun.
Selain itu, kajian terhadap 986 pelajar mendapati 74.5 peratus mengakui pernah terdedah kepada pornografi dalam hidup mereka sekali gus menekankan risiko pendedahan kandungan tidak sesuai pada usia muda.

Keadaan ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk langkah pencegahan dan pengawalan yang lebih berkesan, termasuk pendidikan digital, pengawasan ibu bapa dan perundangan yang kukuh bagi melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan kandungan berbahaya di talian.
Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, keselamatan kanak-kanak dan pengguna digital semakin diperkukuh dengan penggubalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang melengkapkan peruntukan Akta Komunikasi 1998, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan Jenayah Seksual 2017.
“Langkah ini dilihat penting bagi menangani penyalahgunaan internet serta memastikan golongan muda dan rentan dilindungi secara menyeluruh.
“Sebelum ini Akta 1998 mempunyai penggunaan yang terhad, namun kini dengan penambahan Akta 2025, kanak-kanak bawah 13 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial seperti Facebook atau Instagram.
“Malah, penyedia platform juga boleh dikenakan tindakan jika pengguna menghantar kandungan lucah atau pornografi,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Menurut beliau, akta itu mengawal selia keselamatan kanak-kanak atas talian, namun bagi perlindungan kanak-kanak secara am daripada buli, kecederaan dan sebagainya, perlu ada pemantau yang lebih jitu.

“Ia mesti bermula dengan kempen menyeluruh, meletakkan polis di sekolah dan pegawai pekerja sosial,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Noor Aziah turut menegaskan bahawa tanggungjawab utama tetap terletak pada ibu bapa yang perlu mendidik dan memantau anak-anak menggunakan media sosial secara beretika.
“Sebenarnya ibu bapa yang mempunyai tanggungjawab utama mengawasi anak-anak dalam menggunakan media sosial.
“Tetapi masalah kita sekarang, ibu bapa banyak bergantung kepada undang-undang yang mesti ada polis mengawasi perkara-perkara ini.
“Kalau anak-anak dibekalkan dengan telefon bimbit, ibu bapa mesti memastikan anak-anak itu ada peraturan yang boleh diikut, memberi ingatan dan amaran lebih awal bahawa di atas talian ini banyak benda yang kadang-kadang tidak betul,” jelasnya.
Beliau menambah penyedia platform media sosial juga perlu memastikan setiap pengguna memberikan identiti sebenar, terutamanya warganegara Malaysia, supaya tindakan boleh diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan.

“Kerajaan menyediakan undang-undang untuk memastikan umur tertentu boleh menggunakan media sosial secara selamat, tetapi pengawasan ibu bapa dan pendidikan awal tentang keselamatan digital tetap menjadi kunci utama bagi membentuk pengguna maya yang bertanggungjawab,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan bahawa selain undang-undang untuk melindungi kanak-kanak, perlu ada undang-undang untuk golongan dewasa dan warga emas.
“Ia bertujuan untuk mengelakkan golongan ini daripada dieksploitasi atau ditipu di atas talian,” katanya.
Langkah itu dijangka meningkatkan kesedaran keselamatan digital di kalangan ibu bapa dan komuniti, sambil memastikan platform media sosial lebih selamat untuk semua pengguna terutamanya kanak-kanak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








