Kematian pengawal keselamatan diklasifikasi semula sebagai kes bunuh
KUALA LUMPUR – Kes kematian seorang pengawal keselamatan berusia 54 tahun yang diserang di luar sebuah kondominium di Jalan Ipoh, 13 Oktober lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, kertas siasatan kes itu dikemas kini selepas mangsa disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kes ini pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan senjata. Namun, selepas mangsa meninggal dunia, klasifikasi kes disemak semula.
“Kertas siasatan kini diklasifikasi semula sebagai kes bunuh,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini.
Suspek berusia 32 tahun yang dipercayai pemilik unit di kondominium berkenaan masih berada di bawah jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Pada peringkat awal, kertas siasatan sudah lengkap dan diserahkan kepada TPR tiga hari selepas kejadian.
“Polis kini menunggu arahan lanjut daripada TPR untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Ahmad Sukarno berkata, polis turut merampas satu pemetik api milik suspek yang menyerupai pistol.
“Saiznya lebih kecil berbanding pistol sebenar, tetapi bentuknya hampir sama,” katanya.
Dalam kejadian pada 13 Oktober lalu, mangsa, R. Chandran, diserang di pondok pengawal Menara Megah Condominium selepas enggan memenuhi permintaan seorang penghuni untuk menemaninya ke unit kediamannya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa diserang dan suspek turut mengacukan objek menyerupai pistol sebelum mendapatkan rawatan perubatan dan pulang ke rumah.
Mendiang bagaimanapun ditemukan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Susulan itu, lelaki berusia 32 tahun ditahan pada hari sama dan direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




