JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat dakwaan anggotanya pukul OKT

SHAH ALAM – Polis sedang menyiasat dakwaan seorang orang kena tahan (OKT) dipukul anggotanya di Kampung Sungai Ingat, Banting, Kuala Langat, di sini bulan lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin, kertas siasatan sudah dibuka berhubung kes itu susulan laporan polis oleh wanita berusia 39 tahun yang juga ibu kepada OKT lelaki terbabit, 18 November lalu.

“Menurut pengadu, dia menerima satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada pukul 9.11 malam, 15 November lalu.

“Rakaman itu memaparkan anak pengadu ditampar beberapa kali ketika berada di rumah bapanya di Kampung Sungai Ingat.

“Rakaman CCTV berdurasi tiga minit itu menunjukkan anak pengadu didatangi beberapa lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis. Kemudian anak pengadu ditampar beberapa kali oleh anggota polis terbabit dengan tujuan ingin mencari barang bukti,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Sufian berkata, bapa kepada pengadu juga memaklumkan dia menyaksikan perkara itu berlaku dan berada di lokasi ketika kejadian.

“Susulan itu polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button