Kelulusan tujuh pemain naturalisasi dibuat terlalu cepat, tidak teratur – EAIC
PUTRAJAYA – Kelulusan khas kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak negara dibuat dalam tempoh yang amat singkat dan tidak teratur.
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, dapatan itu diperoleh menerusi siasatan Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan susulan aduan diterima berhubung proses pemberian kewarganegaraan kepada pemain terbabit.
“Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian, termasuk menggunakan budi bicara bagi kes khas di bawah Perkara 19(2).
“Bagaimanapun, siasatan mendapati pertimbangan terhadap syarat-syarat kelulusan khas tidak dilaksanakan secara teratur, selain terdapat ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk, termasuk temu duga dan tapisan keselamatan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” kata kenyataan itu, hari ini.
EAIC turut mengesan isu dalam pengendalian tapisan keselamatan, Ujian Pengetahuan Bahasa Melayu (UPBM) oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain ketidakpatuhan berkaitan pengesahan pelepasan kewarganegaraan negara asal dan penyerahan pasport pemain kepada JIM.
Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan JPN dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula keseluruhan proses serta dokumen kewarganegaraan yang diberikan kepada tujuh pemain berkenaan.
“EAIC turut mengesyorkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) khusus diwujudkan bagi pelaksanaan kuasa budi bicara di bawah Perkara 19(2), termasuk menetapkan syarat jelas berkaitan tempoh pemastautinan dan pelepasan kewarganegaraan asal.
“Selain itu, JPN disaran menetapkan tempoh wajib bagi pemegang kewarganegaraan baharu melepaskan kewarganegaraan asal memandangkan Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf dwi-kewarganegaraan,” katanya lagi.
Di samping itu, EAIC turut mencadangkan JIM, JPN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkenalkan SOP yang lebih ketat bagi proses tapisan keselamatan untuk kelulusan Permit Masuk dan kewarganegaraan.
Laporan siasatan itu telah diserahkan kepada KDN, JIM dan JPN untuk tindakan lanjut, manakala isu pemalsuan dokumen yang dikaitkan dengan kes berkenaan disifatkan berada di luar bidang kuasa EAIC dan wajar disiasat secara menyeluruh oleh agensi berkaitan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








